KELUARGAKU

family galery

Sunday, August 30, 2009

BERITA HARUM BUAT SUKAN CATUR DI MALAYSIA






Ramadhan kali ini bukan sahaja penuh makna dan menyediakan ruang yang luas untuk kita terus mendekatiNya, malahan juga hari ini, akhirnya KBS melalui Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Chik telah menyatakan untuk membantu membangunkan sukan catur di Malaysia. Alhamdulillah, akhirnya apa yang kita inginkan bakal terlaksana juga. Beliau mengulas untuk mengadakan perbincangan dengan Persatuan Catur Malaysia untuk membuat perancangan selanjutnya. Semoga semua pihak yang bakal terlibat dalam perbincangan nanti benar-benar ikhlas untuk memajukan sukan ini demi negara tercinta.

Bagi MC, jika hasrat ini tertunai dan tidak tertunda dalam masa terdekat banyak perkara yang harus sama-sama kita lakukan. Di pihak kita sebagai ibu bapa dan guru kepada pemain, kita mungkin perlu memastikan anak-anak dan anak-anak didik kita semakin serius dalam sukan ini agar dapat terus melahirkan pemain yang hebat agar dapat mwmbuktikan kepada pihak kerajaan yang tindakan untuk memartabatkan sukan ini bukanlah perkara yang sia-sia.

Bagi pihak persatuan pula sama ada di peringkat daerah, negeri, mahupun kebangsaan, satu bentuk pengurusan yang lebih bersistematik dan lutsinar perlulah diwujudkan seandainya sehingga ke hari ini masih mempunyai lubang-lubang yang perlu ditampal. Kita perlu sentiasa ingat dan sedar, perjuangan kita hari ini dalam sukan ini bukanlah untuk menjadi kaya tetapi untuk memajukan sukan ini. Sukan yang begitu sinonim dengan kehebatan mental ini sememangnya memerlukan individu yang hebat pemikirannya untuk merangka hala tuju yang hendak dibawa terhadap perkembangan sukan ini secara total.

Jika perlu, bagi MC penubuhan kelab penyokong yang mungkin terdiri dari kalangan ibu bapa dan guru-guru kepada pemain juga amat relevan demi menjadi penyokong kepada kegiatan persatuan. Ini juga boleh berperanan untuk menjadi salah satu medium dalam memastikan pengurusan yang teratur dan telus. Bayangkan jika bermula dari presiden sehinggalah ke ajk nya hebat, ditambah pula dengan sokongan luaran seperti kelab penyokong ini, MC optimis sukan ini akan berada di puncak.

Akhir sekali, semoga perancangan ini akan dapat dilaksanakan secepat mungkin kerana selain daripada diiktiraf kerajaan, satu bentuk pengurusan yang lebih super akan dapat diimplimentasikan serta semoga kehebatan pengurusan ini akhirnya akan mengundang pihak koperat dan konglomerat untuk menjadi penaja kepada kegiatan kita. Akhirnya tiada lagi kita perlu berhadapan dengan urusan pinjaman peribadi bank mahupun ah long moden tatkala ingin menghantar anak ke luar negara untuk mewakili Malaysia yang kita cintai ini.

Sekian untuk kali ini.Semoga kita semua akan terus tabah dalam menghadapi bulan Ramadhan ini dan ingin MC berpesan agar kita sama-sama membuat perCATURan yang relevan untuk berbelanja khususnya dalam menyediakan kelengkapan hari raya yang bakal menjelang, jangan sampai terblunder pula budget yang ada.

Minda Catura

Saturday, August 29, 2009

PERSAHABATAN



Apa ertinya sahabat dan persahabatan ?. Jika nak diulas, mahu sahaja lenguh jemari jua berbuih mulut mentafsirkannya. Namun kata orang - orang lama, sahabat lahirnya dari kejernihan atau keikhlasan perhubungan seorang insan bernama kawan. Dari kawan itulah bakal dipanjangkan perhubungan itu menjadi sahabat kerana sahabat mempunyai pengertian yang lebih erat dan rapat akan pertalian perhubungan sesama sendiri.

Tentu sahaja sahabat mempunyai kuasa kepercayaan yang tinggi melebihi tahap yang diletakkan kepada seseorang kawan. Sahabat sepatutnya atau kebiasaannya mendokong rahsia tertentu sahabatnya supaya sentiasa terpelihara serta tidak memomokkan apa juga kerahsiaan itu terhadap pihak lainnya. Pun begitu tanggungjawab sebagai seorang sahabat adalah lebih berat kerana sahabat seperlunya menasihatkan sahabatnya ketika dia lupa dan alpa serta hanyut oleh sesuatu yang tidak mendatangkan kebaikan atau faedah.

Hari ini menjadi seorang kawan adalah segampang perkara tetapi untuk menjadi seorang sahabat haruslah teruji dengan sifat baik dan jujurnya dahulu. Masakan, untuk menyatakan sesuatu itu sedap hanya sekadar mencium baunya sahaja ? Tahap kawan juga boleh diklasifikasikan kepada beberapa tingkat seperti kawan internet, kawan kedai kopi, dan kawan yang boleh dibawa ke rumah. Sudah tentulah kawan-kawan yang mengelilingi kita hari ini mempunyai tahapnya yang tersendiri pada kita. Ini bukannya kenyataan bebaur tanggapan pesimis terhadap kawan tetapi melambangkan keakraban mereka dengan kita. Kawan yang rapat atau telah diiktiraf sahabat oleh kita sudah semestinya dialu-alukan bertandang ke rumah kita kerana espirit de corp yang kuat yang dapat kita rasakan bersama. Justeru, insan ini tidak mungkin akan tersenyum di hadapan kita tetapi sebenarnya menghentam kita dari belakangnya. Renung-renungkanlah bersama siapa sebenarnya sahabat kita dan siapa pula kawan kita ? Sekian.

Thursday, August 27, 2009

UTUSAN MALAYSIA......MSSD 2009

ALBUM UTUSAN MALAYSIA

Noor Azam juara catur MSSM


NOOR Azam gembira berjaya mempertahankan kejuaraan Kejohanan Catur MSSM Daerah Hulu Selangor baru-baru ini.

Kejohanan Catur Majlis Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Daerah Hulu Selangor menyaksikan pelajar Tahun 4 dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Sentosa, Rawang, Muhammad Noor Azam Mohamad Nor, 10, mempertahankan kejuaraannya buat kali kedua berturut-turut.

Dia yang menyertai kategori individu di bawah 12 tahun memenangi kesemua tujuh perlawanan yang disertainya.

Selain itu Muhammad Noor Azam yang merupakan ketua pasukan bagi SK Bukit Sentosa turut membantu sekolahnya muncul Johan bagi kategori Berkumpulan Lelaki dengan jumlah pungutan mata 22.5.

Dia yang bercita-cita untuk menjadi doktor pakar, berazam meraih banyak kejayaan dalam pertandingan catur terutama menggenggam juara bagi pertandingan National Master.

Kejohanan yang berlangsung di SK Serendah turut menyaksikan aksi hebat peserta termuda yang juga merupakan adik Muhammad Noor Azam iaitu Zainoor Ikmal Maisarah, yang berusia tujuh tahun.

Zainoor Ikmal Maisarah yang mewakili SK Taman Bunga Raya 1 walaupun tidak sehebat abangnya namun berjaya mengharungi perlawanan dengan hanya tewas satu daripada tujuh perlawanan yang disertai.

Aksi tangkas dan tenangnya mencuri perhatian penonton kerana berjaya menewaskan lawannya yang terdiri daripada pelajar Tahun 6.

Walaupun memperoleh tempat ketiga bagi kategori individu bawah 12 tahun Perempuan, Zainoor Ikmal Maisarah berjaya membantu sekolahnya untuk muncul Johan bagi kategori berkumpulan Perempuan.

Kedua-dua beradik tersebut akan mewakili daerah Hulu Selangor bagi kejohanan peringkat Negeri Selangor pada 23 - 26 Februari ini yang akan diadakan di Sepang.

Sebagai persediaan menghadapi kejohanan tersebut, kedua-duanya giat berlatih ketika ada kelapangan di rumah, di samping merancang untuk menyertai beberapa kejohanan yang akan diadakan di beberapa kawasan pada masa yang terdekat.

Kejayaan mereka bukan sahaja membanggakan kedua ibu bapa mereka malah juga seluruh warga sekolah masing-masing, serta guru pertama yang memperkenalkan catur kepada keduanya iaitu Zulkafli Mat Daud yang juga merupakan Pengerusi Teknik Catur Daerah Hulu Selangor dan Sufiah Mohamad, yang merupakan Pengerusi Teknik Catur Negeri Selangor.

Dalam pada itu, kejohanan tersebut akan menjadi platform dan medan yang terbaik untuk Zainoor Ikmal Maisarah menimba pengalaman yang berguna baginya untuk terus mengharungi cabaran yang lebih hebat lagi dalam permainan catur pada masa akan datang.

NATIONAL AGES GROUP MERDEKA RAPID 2009

Tanggal 26 Ogos muncul juga. Suasana seakan sunyi di Hotel Cititel, MidValley. Tatkala aku sampai pagi itu, anak sulungku sudahpun keluar dari dewan menyampaikan khabar kemenangan game pertamanya yang baru dan masih lagi panas. Kerisauanku kerana dia sudah agak lama tidak menyertai mana-mana pertandingan, takut-takut sudah hilang rentak yang sememangnya sedikit itu. Sebenarnya yang lebih merisaukan aku adalah puteriku yang terlalu lama berehat dan sepi dari mana - mana pertandingan catur.

Seketika kemudian dia juga keluar dan menyampaikan khabar kemenangannya. Alhamdulillah. Ternyata keriasauanku kerana mereka bertarung di bulan Ramadhan adalah tidak berasas kerana mereka mampu menghadapinya, malah tidak ada sekelumit rungutan langsung yang keluar dari mulut mereka. Sehingga selesai pertandingan, Azam telah diumumkan sebagai Naib Johan, kalah dengan Sirajuddin yang mewakili Kedah, manakala Maisarah pula dipisahkan hanya 1/2 mata sahaja dari anak FM Mok Tze Ming (Kuala Lumpur) serta sama mata dengan Naib Johan, Nur Islamurni dari Kedah.

TAHNIAH DIUCAPKAN KEPADA SEMUA PEMENANG

Tuesday, August 25, 2009



LARIAN MASA





Alhamdulillah.... Sedar tak sedar hari ini sudah hari ketiga kita menyusuri ramadhan. Tahun ini anak-anak lebih bersedia untuk berpuasa, terutamanya Puteri keduaku, Zainoor Ikmal Maisarah yang ceria dan kuat sehingga waktu berbuka. Tahun lepas, ketika berumur 6 tahun, dia terkantoi juga satu hari, akibat perasaan kesihan guru tadikanya tatkala melihat dia lembik, selembik lepat pisang. Agak malang juga sebenarnya kerana lakonan mantapnya itu hanya dibalas dengan nasi kosong bertemankan telur goreng yang dicurahkan kicap sahaja. Apapun, hidangan tersebut sudah cukup untuk mencabut kesabarannya untuk menunggu masa yang hanya berbaki 3 jam sahaja lagi ketika itu. Apapun, itu cerita lama, cerita yang akan menjadi kenang-kenangannya suatu hari nanti.

Putera sulungku, Muhammad Noor Azam tidak bermasalah. Mungkin pengalamannya mula berpuasa seawal usia 5 tahun telah mematangkan pemikirannya dalam menghadapi ramadhan. Ketika berusia 5 tahun, hanya miss 3 hari, ketika 6 tahun sudah mula mampu berpuasa penuh, alhamdulillah.

Puteri bongsuku, Zainoor Ikmal Munirah (4 tahun) lain pula karenahnya. Bermula dari hari pertama puasa tahun ini, pingin dikejutkan untuk bersahur tetapi apabila bangun, dia hanya meminta sebotol susu serta telur goreng dan keropok sahaja. Bukan untuk pelengkap bersahur, tetapi buat kunyahan untuk melayan cerita - cerita awal pagi di saluran tv, apatah lagi pada hari pertama puasa cerita yang ditayangkan seawal pagi adalah Nurkasih, cerita yang diminatinya. Dia akan marah seandainya tidak dikejutkan. Tak kisahlah, sekurang-kurangnya dia sudah mula belajar untuk bangun sendiri ketika waktu bersahur.

Esok adalah hari yang amat merisaukan aku kerana putera dan puteri kedua ku akan terlibat dalam kejohanan catur rapid merdeka ages group kebangsaan di Citytel, Mid Valley. Permainan ini memerlukan tenaga yang amat banyak kerana otak diperah seperah-perahnya. Moga-moga mereka dapat melaluinya dengan tenang dan tabah. Mudah-mudahan keputusan yang lebih baik akan diperolehi dari ages group sebelumnya. Pada kejohanan ages group sebelum ini, puteriku mendapat tempat yang keenam manakala puteraku pula mendapat tempat yang kesepuluh.

Dengan lawan yang masih sama ternyata laluan sukar menanti mereka, terutamanya Azam kerana dia seusia dengan Yeoh Li Tian dan Aziz Farhan. Maisarah pula akan menghadapi tentangan Puteri Munajjah, Nur Islamurni, serta peserta dari Pulau Pinang. Apapun, mudah-mudahan ramadhan tahun ini menjanjikan kejayaan yang lebih hebat untuk mereka, Insyaallah.