KELUARGAKU

family galery

Monday, September 28, 2009

AIDILFITRI KEMBALI LAGI

Alhamdulillah.... Sempurna sudah puasa pada tahun ini. Syawal disambut dengan penuh meriah terutamanya bagi golongan anak-anak. Kutadah tangan tanda syukurku kehadratNya kerana tahun ini sekali lagi aku berpeluang mencium tangan dan pipi ibuku. Jelas terlihat ukiran kedut diraut wajahnya kian bertambah, namun kugembira kerana Allah menganugerahkannya kesihatan yang baik. Alangkah baiknya jika ayahku jua masih ada ketika gema takbir Aidilfitri bergema, namun Allah lebih menyayanginya. Kami sekeluarga pasrah dengan pemergiannya yang telah bertahun bersemadi.

Desa yang kutinggalkan ternyata mengalami evolusi yang amat pantas. sawah-sawah nan menguning seketika dahulu sudah berganti dengan deretan rumah teres jua banglo di kiri kanan simpangnya. Tatkala melalui bekas tapak rumahku yang telah kami tinggalkan bersama seribu memori semenjak setahun yang lalu, air mata ku seakan berderai kerana di bangunan yang telah dirobohkan itu tersimpan seribu satu kenangan pahit manis kami sekeluarga. Di situlah aku dilahir dan dibesarkan dalam sebuah keluarga yang besar. Di situ jugalah kedua jenazah, ayahanda dan kekanda tercinta terbujur kaku dijemput pulang.

Mungkin teratak dan desa itu sudah tiada dalam dairi tintaku tatapi ianya akan tetap mekar di kotak ingatanku sampai bila-bila pun jua. Tempat jatauh lagi dikenang, inikan pula tempat aku dilahirkan, dibesarkan dan mengenal akan erti sebuah kehidupan. Di situ jugalah keluargaku berlindung dari panas dan hujan sepanjang 39 tahun.

Aidilfitri kali ini juga kulihat kesedihan di wajah salah seorang kakak ku yang kini menghadapi dugaan tuhan. Menghadapi luekimia di saat insan lain sedang bergembira bukannya mudah untuk diterima hakikatnya tetapi aku juga kagum dengan semangatnya yang cekal menghadapi semua itu. Biarpun helaian rambut-rambutnya kian bertaburan ditiup angin kesan dari kimo, namun masih berupaya mengukir senyuman tika kami melawatnya. Jauh di sudut hatiku, aku dapat mengagak senyuman itu sekadar untuk menyedapkan hati kami yang bertandang ke purinya. Terima kasih yang tidak terhingga kerana cuba membahagiakan kami biarpun sakit sebenarnya hanya dia yang tahu. Ya Allah......Sembuhkanlah penyakit kakakku agar dia bisa menjalani kehidupannya seperti sediakala.

Nun di sudut sana, abangku pula dikhabarkan mengalami kesakitan kaki akibat sesuatu yang dia sendiripun tidak pasti apa puncanya. Lantas ku halakan estima putihku bersama keluarga menghala ke istananya. kami hampa. Dia tiada di rumah kerana menunaikan sesuatu yang menjadi fardhu kifayyah. kami dikhabarkan oleh kakak iparku yang dia menggagahi juga dirinya untuk memandu van jenazah kerana pada pagi itu ada seorang lagi muslimin yang telah dijemput pulang. Itu lah abangku yang biarpun dalam kepayahan tetapi tetap berusaha untuk berbakti kepada masyarakat walaupun itu bukanlah tugasan hakikinya. Ya Allah....kau sembuhkanlah abangku ini.

Aidilfitri kembali lagi pada tahun ini bersama dengan pelbagai cerita duka jua nestapa. Apapun, aku tetap yakin semua yang berlaku ini pasti ada hikmahnya. Semoga Aidilfitri yang bakal mendatang pada tahun-tahun ke depan menjanjikan cerita-cerita yang manis pula, insyaAllah.

Wednesday, September 16, 2009

PERIHAL BAHASA

Di mana kedudukan bahasa kita, Bahasa Melayu sekarang ? Ke manakah bahasa kita yang hebat itu akan di bawa ? Apakah suatu hari nanti bahasa itu juga akan mati, terkubur tanpa nesan ? Kita sudah hampir kehilangan tulisan jawi dalam mengejar arus permodenan tamadun dunia. Mahukah kita melihat keranda bahasa kita diusung dalam kemegahan bahasa asing lain yang melebarkan kepaknya di merata dunia ? Kita selama ini terlalu mengagungkan bahasa asing yang terus diangkat menjadi bahasa dunia sedangkan bahasa kita yang tidak kurang hebatnya dibiarkan terus kelemasan di bumi sendiri.

Sewaktu pengenalan PPSMI seketika dahulu, bahasa kita terus dipinggirkan. Orang-orang politik peringkat atasan terus menyanyikan lagu kemajuan dunia dalam rentak dan irama bahasa lain. Kononnya hanya bahasa asing yang dapat memacu kita ke persada dunia. Wah.. betapa kolotnya jiwa mereka. Mereka ini bukannya tidak sedar akan hakikat sebenarnya, tetapi demi mahu memastikan kelangsungan sebuah kerusi politik, bahasa sendiri juga perlu dikorbankan. Lebih menyedihkan, politikus yang sudah berusia juga turut sekonyong-konyong menyokongnya. Mungkin tanda setia pada si gembala.

Hari ini, setelah PPSMI mahu dihapuskan, politikus yang sama anehnya bercakap tentang pentingnya bahasa kita dipertahankan. Peliknya kisah-kisah yang berlaku di dunia ini. Semasa PPSMI hendak ditegakkan, guru-guru telah digula-gulakan dengan pemberian insentif tetapi pelik pula setelah kepentingan bahasa sendiri diakui perlu diutamakan, tiada pula tindakan seumpamanya dilakukan terhadap tenaga pengajar bagi subjek tersebut.....

Lagi peliknya, di peringkat pusat telah mengakui kegagalan PPSMI adalah disebabkan oleh faktor teknikal dan kebersediaan yang terlalu nipis, tetapi di peringkat negeri pula masih ada yang menyalahkan guru-guru sebagai punca kegagalannya. Projek gajah putih ini akhirnnya menguntungkan siapa ?

Hentikanlah semua polemik kegagalan ini, pihak berwajib adalah diharapkan mengambil langkah yang lebih proaktif untuk memeperkembang dan memperkayakan bahasa kita agar bahasa yang kita sanjungi ini akan lebih kukuh lagi. Jangan sampai bahasa ini hilang ditelan arus permodenan dunia kerana tanpa bahasa, di manakah bangsa kita ?

Akhirnya Mariam mengadap ILLAHI

Di mana pun jua kita berada, nescaya suatu hari nanti kita akan kembali kepadaNYA. Begitu jugalah halnya dengan arwah Mariam yang sudah berpuluh tahun berkelana ke Korea, akhirnya memenuhi janji Allah s.w.t, kembali jua ke pangkuanNYA. Pelbagai telahan dan anggapan bermain di minda manusia ketika ini. Atas nama manusia kononnya, mereka memberi tafsiran yang pelbagai tentang status agamanya dan apakah beliau layak dikebumikan secara islam. Apapun, sebagai manusia kita sepatutnya melakukan yang terbaik dan selebihnya kita serahkan sahaja kepada yang Berkuasa. Janganlah kita berpolemik tentang sesuatu yang bukan dalam lingkaran jangkauan pemikiran kita, marhaen biasa yang sememangnya penuh dosa dan noda.

Marilah kita sama-sama pergunakan masa yang ada dalam bulan mulia ini untuk mencari keredhaanNYA. bukankah itu lebih baik dari menghabiskan masa dengan perbuatan dan tindakan yang sia-sia. Usia makin mengesot pergi, kulit sudah semakin mengendur. Apa lagi yang kita inginkan dalam hidup ini ?

Berbalik kepada perjalan hidup seorang insan kerdil bernama Mariam, alhamdulillah akhirnya bumi Malaysia yang tercinta ini menjadi tempat persemadiannya. Moga rohnya tenang di sana. Kepada anak-anak beliau, kita harapkan tabahkan hati dalam menerima ujian Allah ini. Doa haruslah terus dikumitkan agar rohnya diterima disisi Allah.....Amin

Tuesday, September 15, 2009

Sweeping Malaysia tiada untungnya

Tiba-tiba sahaja sweeping Malaysia menjadi hangat di kalangan segelintir warga Indonesia di tanah air mereka. Entah hantu apa yang merasuk jiwa mereka ini yang kononnya sudah hebat dan tidak mahu lagi mengambil tahu kerjasama dan keperluan kerjasama itu sendiri di antara dua negara. Pemikiran yang terlalu dangkal dan jumud ini bukan merupakan menu baru, malahan pernah disajikan suatu ketika dahulu khususnya dalam gerakan ganyang Malaysia.

Hubungan dua hala yang telah dilanjutkan sejak beberapa lama dahulu ingin dirungkaikan dalam masa yang singkat. Siapa yang akan beroleh keuntungannya ? Jawapannya TIADA. Keuntungan hanya akan akan hasil daripada pertalian yang kukuh antara keduanya bukannya cerai berai yang akhirnya rakyat di kedua-dua negara yang mengalami kerugian. Para pelajar tidak lagi berminat untuk belajar di negara bergolak, pekerja akan lari pulang ke kampung dek khuatirkan keselamatan, industri pelancongan menjadi lumpuh, ibarat nazak menunggu maut menjemput. Nah....Untungkah kalian ? Kalian yang keluar dijalanan semata-mata untuk memprotes secara membuta tuli memang sememangnya tidak mengambil kira keamanan, cuma sekadar ingin menunjukkan suara hati yang dipengaruhi rasa dan nafsu buana.

MENARA GADING.(MASTERS SAINS, UPM / 2005)

BATASAN WAKTU

Minggu ini merupakan minggu yang agak padat bagiku. Blog selangor chess (selchess) pun tidak sempat untuk ku update. Ternyata aku, Minda catura pun adalah manusia biasa yang terkadang terkantoi dek kejaran masa yang mungkin hanya akan terhenti tika kedua kelopak mata ini tertutup buat selamanya. Minggu ini juga merupakan minggu yang sarat dengan penerpaan kenangan silam. Entah kenapa wajah arwah ayah dan kekanda yang telah mendahului ku mengadap ilahi acapkali terbayang direruangan mata ini setiap kali selesai bertarawikh.

Wajah ibu pula tidak pernah lekang dari kotak ingatanku. Doa akan sentiasa kupintal agar ibu sering dalam lindunganNYA. Seperkara yang teramat aku harapkan adalah agar aku insan yang sejahil ini berpeluang bertemu malam Lailatulqadar pada tahun ini. Ya ALLAH, jangan kau ambil nyawaku sebelum putihnya ikram itu menyelimuti badan yang kau pinjamkan ini sambil melangkah penuh khusyuk di kota suciMU.

Hari raya tahun ini mungkin juga akan berlalu seperti tahun-tahun sebelumnya. sepi dan hambar. Mungkin kerana usia ku yang sudah bertambah atau juga kerana kegembiraan itu sudah dirampas sejak sekian lama dahulu, namun apa yang pasti mungkin senyumanku masih berguna buat menceriakan anak-anak yang menjadi amanah buatku. Sanak saudara masih juga sentiasa dirindui. Ia tidak mungkin akan berubah biarpun jua masa pantas berlari meninggalkan ku. Di hari yang mulia ini, aku pohonkan kemaafan buat semua insan penting yang dihadirkan ALLAH dalam hidupku selama ini.

Wednesday, September 9, 2009

RAGAM ZAINOOR IKMAL MUNIRAH



GAYA BAKAL GRAND MASTER TERBILANG


Tuesday, September 8, 2009

KAJIAN GAME (CARO KAN)

Monday, September 7, 2009

CHESS FUN