KELUARGAKU

family galery

Saturday, October 31, 2009

Minda Catura @ satu kesedihan

Pernahkah kalian merasakan diri kalian tertipu dan dikhianati ?. Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah orang yang menafikan hak kalian adalah orang yang kalian anggap seperti kawan baik kalian sendiri. Tentu sedih kan ?. Hak tetap hak. Mengambil hak orang lain yang bukannya hak kita walaupun selamat sekarang, tetapi apakah akan terasa senang dan selamat selamanya ? Misalnya, jika hak seseorang itu adalah RM 400.00 tetapi kita hanya memberikan kepadanya RM 100.00, adakah kita ini telah melayannya sebagai seorang kawan?. Jika dia bukan kawan sekalipun, dia tetap berhak untuk mendapatkan haknya, kan?

Kejohanan catur UPSI open telahpun menjatuhkan tirainya. Senarai peserta yang mencecah 265 orang dilihat sebagai satu penganjuran yang berjaya, terutamanya dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu ini. Ini menunjukan pencinta sukan catur ini tidak pernah beralasan untuk mengenepikan sukan ini walau apa jua alasannya. Niat ikhlas untuk memajukan sukan ini akan membawa sukan ini ke mercu persada di bumi Malaysia ini.

Kemunculan WCM Nabila sememangnya membawa petanda bahawa ada sesuatu sinar yang boleh kita harapkan dari anak pasangan Zaza dan Azman Hisham ini pada masa hadapan. Dengan usianya yang bakal menjangkau 13 pada 2010 nanti, sudah semestinya masa masih panjang untuk dia cuba mengharumkan nama kita dalam arena catur antarabangsa. Begitu jugalah dengan kemunculan muka-muka baru yang MC perhatikan sepanjang terbuka UPSI yang lalu. MC juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Zarul Syafiq yang merancang kejohanan ini dan juga buat Izam yang melaksanakannya. MC sebenarnya berpeluang bersembang yang agak panjang dengan Izam berkenaan perjalanan kejohanan ini pada hari kedua kejohanan dan melalui perbualan telefon dengannya sehari setelah kejohanan berakhir. Pelbagai isu dan maklumat sama ada yang cuba dilipat dan dibentangkan turut mengambil tempat dalam perbualan tersebut.

Berbalik pada perkembangan sukan catur di negara kita, MC merasakan semuanya sudah dilakukan secara bersepadu oleh pencinta sukan ini., Ibu bapa menghantar anak, para guru menghantar muridnya, para jurulatih menyediakan anak didiknya, penganjur menyediakan tempatnya, para penaja menyediakan hadiahnya, serta para bloggers menyediakan ruangannya untuk sama-sama memastikan sukan ini dapat diwar-warkan serata pelusuk dunia. Lihat sahaja Gilo Catur yang berkepit dengan laptop dan broadbandnya sepanjang kejohanan demi ingin melaporkan perkembangan kejohanan dari masa ke semasa. Tahniah juga kepada beliau kerana bangkitnya anak-anak beliau dalam kejohanan tersebut. Semoga kejayaan demi kejayaan akan dicapai satu persatu oleh mereka pada masa-masa yang akan datang.

Tuesday, October 27, 2009

PENIPUAN TERANCANG

Penipuan bukannya perkara baru dalam dunia hari ini. Sedari dulu lagi, menipu dan ditipu seakan merupakan puzzle dalam kehidupan. Malah penglipur lara dahulu kala juga sering menyelitkaTen unsur penipuan dalam cerita dan penceritaan mereka. Persoalannya, wajarkah penipuan diwujudkan walaupun bertujuan sebagai hiburan ?. Tentunya jawapan yang konsisten adalah tidak kerana penipuan tetap penipuan. Perlu diingat, penipuan bukanlah alternatif yang baik bagi penyelesaian sesuatu masalah.

Penipuan yang kita ciptakan akan melahirkan lebih banyak kenegatifan dalam menegaknya pula. Maka unsur seperti penindasan, memerah keringat orang, mengambil hak orang dan sebagainya akan tercipta bersama penipuan tersebut. Kadang-kadang seseorang yang menipu merasakan dia bijak kerana penipuannya itu tidak dapat dihidu oleh yang ditipu, tetapi adakah hakikatnya begitu?.

Cerita tertipu dalam skim cepat kaya, ditipu dalam urusan jual beli, ditipu dek angkara politikus terlalu banyak untuk dibicarakan. Begitu jugalah perihal ditipu oleh kawan sendiri. Teringat juga akan gurau senda kawan-kawan, KMK yang asal lahirnya merupakan Kumpulan Meningkat Mutu Kerja sudah beralih kepada Kawan Makan Kawan. Ianya dilakukan tanpa sedikit pun tak terfikir tentang kebaikan yang mungkin pernah dilakukan oleh yang tertipu tersebut. Ini lah agaknya yang dinamakan dunia akhir zaman. Entah bilakah masanya semua jenis penipuan ini akan ternoktah.

Malam ini TV3 akan menyelongkar persoalan penipuan ini menerusi programnya 360. Walaupun fokus yang bakal diutarakan adalah berkisar tentang penipuan dalam pelaburan, namun sudah pastinya info-info yang bakal dilemparkan nanti masih juga ada kerelevanannya dengan segala macam bentuk penipuan yang lainnya, apatah lagi yang melibatkan wang kerana dengan wang di depan mata, saudara mara juga bisa berbunuhan, kawan-kawan bercakaran dan sebagainya.

satu persoalan yang timbul, tidak takutkah mereka yang suka menipu dengan mengambil hak orang lain ini dengan hukuman ALLAH ?. Terfikirkah mereka akan perjalanan di akhirat nanti atau balasan yang mungkin bakal dianugerahkan di atas muka bumi ini ?. Atau juga sememangnya mereka hanya akan insaf jika akibat perbuatan mereka ini akan ditanggung oleh anak-anak yang sememangnya tidak berdosa?. Bagaimanakah mereka boleh menghalalkan sesuatu yang sememangnya haram ? Atau juga mereka sebenarnya sudah bersedia untuk menelan bara api neraka di akhirat nanti ? Memohon kemaafan dari Allah adalah lebih mudah dari memohon kemaafan sesama manusia yang kita zalimi. Wallahhualam.....

Monday, October 26, 2009

UPSI OPEN 2009






Kejohanan catur UPSI open yang telah berlangsung pada 24 dan 25 Oktober 2009 telah berjaya menarik seramai 265 orang peserta dan sekali lagi Ian Udani telah berjaya mempertahankan gelarannya sebagai juara bagi kategori open. Bagi kategori sekolah menengah pula telah dimenangi oleh Mohd Syakir Azhar, manakala bagi katregori sekolah rendah pula, Mohd Irfan telah muncul sebagai pemenang.

Satu amaran dari MSS Pulau Pinang apabila satu bas peserta mereka menunjukkan peningkatan yang semakin matang, khususnya sebagai persediaan MSSM 2010. Jika semua ini diambil kira dan diberi pertimbangan yang serius oleh MSS negeri-negeri lain, ternyata sekarang bukan lagi tempoh berbulan madu buat para pemain mereka.

Thursday, October 22, 2009

LAGI-LAGI DERA

Kali ini Kajang pula menjadi saksi sebuah kes penderaan kanak-kanak sehingga mati. Seribu kekesalan tidak lagi bermakna bagi si ibu. Persoalannya mengapa seorang lelaki yang tiada kaitan dengannya boleh tinggal bersama dengannya. Kuasa Allah mengatasi segalanya. Dek kejadian ini timbul segala perseoalan yang selama ini tersembunyi di sebalik rumah tersebut. Apakah manusia akhir zaman ini tidak lagi takut akan dosa-dosa yang dilakukan?.

Bukan kerana si jantan adalah warga Sudan. Warga mana pun dia, tetap tiada kewajaran mereka tinggal dalam rumah yang sama kerana tiada ikatan yang sah antara mereka. Kenapakah mudahnya si ibu ini digula-gulakan oleh seorang lelaki luar hinggakan terlentok dibahu jantan tak guna tersebut. Mungkin ini jugalah yang selalu memerangkap warga kita sehinggakan mereka diperdaya dan ditangkap bersama dadah di luar negara (mungkin bagi sesetengah kes). Nampaknya slogan Malaysia Boleh yang diperkenalkan oleh Tun Dr M telah sekali lagi ditafsirkan dengan penuh pesimis dan radikal oleh golongan yang jumud pemikirannya.

Monday, October 19, 2009

ALAHAI SMS ....

Baru-baru ini seorang hamba Allah telah menerima akibat kesan dari kehebatan sms pada hari ini. Bukan tujuan untuk menyalahkan sms tetapi sudah menjadi kelaziman bagi manusia (bukan insan) yang seringkali menyalahgunakan sesuatu bagi tujuan peribadi. Sebagaimana dadah yang wujud asalnya itu untuk kebaikan tetapi mendatangkan kesan yang sebaliknya akibat telah disalahgunakan, begitu juga dengan teknologi sms ini.

Mungkin kerana ingin dilihat sebagai seorang yang terlalu prihatin dan bersifat ingin membodek pihak tertentu, maka sms telah digunakan untuk ditujukan kepada bossnya bagi tujuan untuk mengenakan Hanba Allah tersebut. Ayat yang agak tersasar nan terbantut dari sudut etika berbahasa serta hukum Bahasa Melayu telah digunakan akibat daripada emosi yang tidak terkawal manusia tersebut. Ternyata kemarahannya terhadap Hamba Allah tersebut telah menghalalkan dia untuk menyatakan apa sahaja demi memuaskan hasrat hatinya.

Di sebalik kejadian tersebut, timbul sedikit kehampaan kerana pada zaman ini masih lagi terbukti yang kemarahan bukan sahaja berupaya untuk meregangkan sesuatu perhubungan, malahan juga koyakan bisa berlaku terhadap bahasa yang amat dicintai. Manusia hari ini (yang berkenaan) masih berada di bawah tahap pengecut dan bacul untuk menyatakan sesuatu pada masa dan tempat yang sesuai dan masih berselindung di sebalik tulisan yang merebakkan keindahan bahasa itu sendiri. Alahai sms...... engkau juga yang dimangsakan oleh manusia bacul tersebut. Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya dan membuka hati pihak-pihak lain dalam menilainya....Amin.

Monday, October 12, 2009

PENJENAYAH IJAZAH

Ijazah adalah merupakan idaman setiap individu yang sedar akan kepentingan ilmu serta juga yang ingin membina kerjaya di masa hadapan. Bukan ingin memperkecilkan golongan yang tak berijazah, cuma ingin meyingkapkan sebuah kenyataan bahawa menjadi kelaziman bagi ibu bapa akan berbangga jika anak-anaknya berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading dan memperolehi ijazah. Namun keunggulan ijazah kini sedikit tercemar gara-gara ada sekelompok individu yang mengambil jalan pintas dalam mendapatkan segulung ijazah. Mereka ini menggunakan kuasa wang untuk mendapatkannya.

Golongan pencemar kehebatan ijazah ini adalah merupakan pengkhianat bagi keunggulan ilmu. Mereka ini tidak ubah seperti golongan yang sewenang-wenangnya melacurkan ilmu demi sebuah status diri. Masyarakat sebenarnya lebih mengenali sama ada golongan ini sememangnya layak atau tidak menggenggam ijazah tersebut. Masakan dengan hanya goyang kaki sahaja sudah mampu mendapatkan ijazah dari merata pelusuk universiti di dunia ini. Ijazah jenis ini biasanya lebih mudah didapati di universiti luar negara kerana adalah mustahil jika perkara ini dilakukan di dalam negara kita, yang dikawal oleh kerajaan melalui kementeriannya.

Ada antara golongan bengap ini seakan berbangga bercerita tentang ijazah sarjana yang mereka perolehi dari luar negara. Malah ada antaranya yang mungkin berbangga dengan MBA dan sebagainya, sedangkan pada masa yang sama tergagap-gagap untuk bertutur dalam bahasa Inggeris. Insafkan wahai golongan perosak status ilmu pengetahuan. Apakah anda perlu malu untuk mengakui yang anda sememangnya hanya berkelulusan setakat itu sahaja. Saya amat bersyukur kerana mempunyai kawan yang tidak berijazah tetapi amat menghormati nilai ilmu daripada mempunyai kawan sebaliknya. Ijazah bukanlah ukuran untuk berjaya di dunia ini tetapi ia adalah lambang bagi mereka yang sangat cintakan ilmu pengetahuan

Friday, October 9, 2009

GURU SAMAN PENGETUA

Dalam ghairah orang memperkatakan bahang pilihan raya kecil, tiba-tiba sahaja kita dikejutkan dengan berita seorang guru di Pahang menyaman pengetuanya RM 228k. Pada pandangan sekelompok individu perbuatan guru ini adalah tidak beretika dan tidak bermoral tetapi apakah beretika dan bermoral seorang pengetua berperilaku sebegitu rupa dalam mengaibkan seorang insan bernama guru ?. Walau apapun kesalahannya, adakah beliau tidak langsung pernah menyumbang ke arah pembangunan pendidikan di sekolah tersebut ? Kalaupun dia bersalah pada pandangan pentadbir sekolah, mengapa tiada disusulkan dengan perbincangan secara dua hala, surat tunjuk sebab dan sebagainya.

Pengalaman yang sedikit daripada rakan-rakan bergelar pendidik, sememangnya ada di kalangan pengetua atau guru besar sememangnya menggunakan kuasa dan kedudukan mereka secara semberono dalam menekan dan memeras segenap tenaga guru-guru di bawahnya demi memastikan kelangsungan survival kedudukan mereka di institusi tersebut dipandang hebat oleh orang lain dengan pencapaian sekolah yang dianggap super.

Kekadang kita terlupa insan bergelar guru ini juga adalah manusia biasa, justeru beban yang sedia ada banyak dan berat mengapa harus diberatkan lagi. Malahan ada juga sekolah yang pendidiknya seakan bisu dalam mensyuarat PIBG bila mana ada antara ibu bapa yang menjadikan medan mesyuarat tersebut sebagai pelantar untuk melontarkan scud dan patriot terhadap guru-guru. PIBG yang telah menjadi Pentas Ibu bapa Belasah Guru ini jika dibiarkan semakin lama akan menjadi barah yang tidak dapat dikawal lagi.

Mengapakah kelompok ini tidak boleh mengamalkan permuafakatan di peringkat yang paling tinggi bagi sesebuah institusi pendidikan ?. Guru-guru perlulah menghormati pengetua atau guru besar mereka sebagai pegawai atasannya, manakala pengetua atau guru besar pula perlulah menghormati guru-guru mereka sebagi insan yang melaksanakan pembangunan dan kemajuan bagi sekolah tersebut. Secara ringkasnya, golongan ini saling perlu-memerlukan. Berdamailah wahai sang pengetua dan guru yang sedang bermasalah tersebut. Jika ada kesalahan akibat keterlanjuran sebelum ini, ketepikanlah egoistik dan pohonlah kemaafan kerana memohon maaf sesama manusia adalah lebih sukar berbanding memohon maaf dari Allah. Kecemerlangan sesebuah sekolah banyak bergantung kepada kerjasama yang amat erat antara guru-guru dan pentadbiran sekolah, di samping faktor murid-muridnya.

Thursday, October 8, 2009

Pilihanraya.......Medan Pilihanrakyat atau medan sketsa

Pilihanraya merupakan salah satu dari cabang demokrasi. Dari pilihanraya inilah kita memilih individu yang dapat mewakili kita untuk menyatakan masalah dan harapan kita warga negara sama ada di dewan undangan negeri mahupun dewan rakyat. Pemimpin yang dipilih ini pula sudah tentulah perlu memilkul amanah rakyat sebaik mungkin kerana tanpa rakyat yang memilihnya, beliau bukannya sesiapa.

Kekadang di negara kita berlaku satu situasi pelik yang nyata di mana bila adanya pilihanraya sama ada kecil mahupun umum, pelbagai janji manis ditabur untuk menjadi pemanis halwa telinga rakyat di sana. Secara tiba-tiba juga pelbagai imbuhan dirancang dan diluluskan secara segera. Apakah setiap janji itu ditunaikan ?. Tolonglah....jagan lagi kita memperbodohkan pengundi dengan segala macam retorik.

Lebih memualkan lagi kerana cerita gaduh, tumbuk-menumbuk, samseng dimainkan oleh parti-parti bertanding. Hari ini parti A mendakwa ahli parti B yang memulakan, begitu jugalah sebaliknya di hari esok. Persoalannya, sedarkah mereka ini bahawa yang terlibat semua itu adalah bangsa kita, melayu. Sehingga paras manakah melayu ini hendak dikebawahkan imejnya?

Sedarlah Melayu kini bukan lagi menjadi majoriti yang nyata bilangannya di negara kita hinggakan terpaksa kita menjamakkannya kepada bumiputera untuk distatistikkan. Jika bilangan yang senakin mengecil hari inipun hendak dilagakan atas nama politik dan fahaman ideologi, justeru kita menjadi semakin berpecah dan lemah. Seharusnya kita perlulah lebih utuh biarpun dalam berpolitik. Politik yang matang bukan sahaja tidak mengguris hati segenap politikus, malahan tiada sebarang rekahan akan terbentuk di dinding bangsa kita.

Bukan kah bangsa kita telah semakin maju dan hebat ?. Kenapa tidak kita terus menerus berusaha untuk lebih mendominasi lagi setiap aspek kemajuan dan ketakwaan kita?. Biarlah kita berkempen dengan menyatakan ideologi perjuangan kita daripada kita cuba memburukkan lawan kita kerana semuanya ibarat meludah ke langit, yang akhirnya akan terjatuh juga di muka kita. Berilah sedikit ruang untuk pengundi berfikir dan memutuskan siapa yang hendak mereka pilih. yang menang haruslah berkhidmat untuk kawasannya manakala yang kalah pula berikan sokongan kepada yang menang sebagai salah seorang warga tempatan dan cuba untuk terus berbakti kepada masyarakat setempat. Jika ini semua dilakukan dengan ikhlas, insyaallah suatu masa nanti jika wakil rakyat sedia ada bercakap tidak serupa bikin, rakyat sendiri akan memilih kita pula.

Monday, October 5, 2009

HITAM, PUTIH dan KELABU

Dalam hidup kita dalam dunia yang serba canggih hari ini, kita terlalu menjadikan hitam dan putih sebagai pertimbangan dan pengadilan. Bagi kebanyakan orang, hitam mewakili keburukan, kejahatan, serta perbuatan yang tidak bermoral. manakala putih pula adalah sebaliknya. Pelanggaran sesuatu norma budaya seringkali diadili satu kesalahan yang tergolong dalam calitan dakwat hitam. Itu jugalah aras pertimbangan kita dalam melakukan sesuatu perkara atau hal. Pernahkah terfikir oleh kita antara keduanya masih ada satu lagi iaitu kelabu. Warna kelabu acapkali dilupakan sebegitu sahaja seolah-olah kewujudannya tidak diendahkan oleh kita.

Jika kita gagal mematuhi kehendak moral dan etika akan dianggap salah atau hitam dan jika sebaliknya pula kita akan diberikan warna putih. Bagaimana pula jika kita yang sedang berada di lampu isyarat pada jam 3 pagi dan pada ketika itu tiada satupun kenderaan berada di situ mahupun dalam lingkaran lampu isyarat itu. Pada masa itu kita sedang membawa seseorang pesakit dalam keadaan tenat. Persoalannya, adakah kita perlu mematuhi prinsip moral dengan berhenti pada lampu yang sedang merah atau atas nama moral juga kita boleh terus memandu he hospital walaupun pada saat lampu masih merah demi berusaha untuk cuba menyelamatkan satu nyawa ? Nah, justeru inilah perilaku yang boleh kita kategorikan sebagai kelabu, yang sering dilupakan orang dalam melakukan sesuatu proses penghakiman terhadap orang lain dalam kehidupan hari ini.

Sememangnya latar kelabu ini secara sedar mahupun tidak sudahpun dipraktikkan dalam kehidupan, cumanya kita sendiri tidak menyedari akan kewujudannya. Misalnya, setiap pertimbangan kita yang berdasarkan pertimbagan budi bicara dan toleransi. Maka ditegaskan lagi, dalam kehidupan ini kita bukan sahaja berhadapan dengan situasi hitam dan putih sahaja, malahan kita mempunyai alternatif antara hitam, putih, dan kelabu