KELUARGAKU

family galery

Tuesday, November 17, 2009

Maisarah @ Hari Anugerah Cemerlang, 2009




Hari ini puteri kedua ku terlibat dalam persembahan pada Hari Anugerah Cemerlang sekolahnya. Hari Sabtu akan datang pula akan tiba tikanya adindanya akan terlibat pada persembahan sempena Hari Anugerah Cemerlang sekolahnya. Bagi ku, aku menyokong penglibatan mereka dalam aktiviti tersebut kerana terdapat banyak unsur positif yang tersirat di sebalik semua ini. Semoga semua ini berjaya menambahkan lagi keyakinan diri dan disiplin mereka kerana disiplin dan keyakinan diri inilah yang bakal mereka bawa di sepanjang pengembaraan hidup mereka dalam mengejar ilmu pengetahuan.


Saturday, November 14, 2009

Ches..ches juga......Akhirnya result final exam dah keluar

Akhirnya keputusan final exam ketiga-tiga anak ku sudah aku perolehi. Alhamdulillah, walaupun ada surut dan pasangnya keputusan mereka namun ia sudah memadai bagi kami... lebih-lebih lagi ketika minggu peperiksaan, mereka dikejutkan dengan berita kematian Mak Chaq mereka dan kami sekeluarga terpaksa bergegas pulang ke kampung di Kedah. Masa study mereka ketika itu hanyalah dalam perjalanan pulang ke kampung dan ketika dalam perjalanan pulang dari kampung kerana sesudah sampai di rumah, keesokan harinya mereka terus menduduki peperiksaan pula. Apa-apa pun, abah dan mama mengucapkan tahniah kepada kalian atas pencapaian tersebut.

Kami tahu aktiviti kalian sepanjang tahun 2009 agak padat dengan chess lah, persembahan peringkat sekolah, daerah, negeri, dan kebangsaan. Itu adalah sebahagian dari rencah-rencah kejayaan yang lebih tuntas lagi pada masa depan kalian, insyaAllah. Mungkin cuti sekolah nanti adalah masa untuk kalian tumpukan pula perhatian kalian pada pertandingan-pertandingan chess yang mungkin bakal diadakan di sana sini pula. Selalu lah ingat wahai anak-anak ku, janganlah sampai Yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula keciciran . walau siapa pun kita dalam sukan yang kita minati, pelajaran tetap perlu diutamakan.




Azam hanya mampu mendapat tempat ketiga dalam kelas 4 Anggerik. Apa pun tahniah kerana sudah pastinya dia akan meneruskan tradisi untuk terus berada di kelas 5 Anggerik pula, tradisi yang dipertahankan semenjak tahun 1 lagi.



Sedikit penurunan dalam keputusan yang diperolehi oleh Zainoor Ikmal maisarah. Dari nombor 4 terus menjunam ke nombor 9. Walaubagaimana pun masih mengekalkan kelasa Amanah pada tahun hadapan. Jadikan ini sebagai satu pedoman.Apa pun tahniah kerana masih mengekalkan keputusan 5A.




Tahniah kepada Zainoor Ikmal Munirah yang masih mengekalkan nombor 1 sepanjang tahun 2009 ini. Semoga kejayaanmu akan berterusan dan berpanjangan. Tidak sabar rasanya menantikan persembahan yang bakal diadakan pada hari penyampaian hadiah minggu hadapan.


Friday, November 13, 2009

Suam-suam kuku @ Minda Catura

Tiba-tiba sahaja satu Malaysia digemparkan dengan berita KBS akan mengiktiraf dan membangunkan sukan catur dalam erti kata biar lebih tersusun. Pelbagai reaksi gembira terukir di wajah-wajah anak-anak yang mencintai sukan ini. Setelah 3 bulan berlalu, berita tersebut seakan semakin basi ditelan masa yang semakin pantas berlari meninggalkannya. Adakah berita tersebut akan tergantung sehinggalah pilihan raya umum akan datang pula mengetuk pintu kalendar kita ? dan menteri yang lain pula akan mengambil alih teraju kepimpinan KBS ?. Secara peribadi, MC melihat Datuk Ahmad Shabery ikhlas dalam perjuangan tersebut, cuma kita, yakni peminat sukan ini dan persatuan perlulah sentiasa bergerak untuk merancang sesuatu ke arah tersebut kerana adalah mustahil jika semua perkara hendak difikirkan oleh menteri. Apalah salahnya jika kita turut meringankan bebanan beliau untuk berfikir. Biarlah beliau hanya menjadi pihak yang memutuskan keputusannya sahaja.

Bagi MC, persatuan perlulah membanyakkan kursus-kursus sama ada kejurulatihan dan kepegawaian agar sukan ini menjadi benar-benar mantap dari segi pengurusan sesuatu pertandingan. Mengambil contoh penganjuran yang telah dilakukan di salah sebuah institusi pendidikan tinggi baru-baru ini, sedikit kekesalan bila mana pengurusannya kelihatan kacau bilau. Walhal, pihak yang melaksanakan pertandingan tersebut bukannya calang-calang orang dalam sukan catur ini tapi entah di mana silapnya. Kejohanan yang sepatutnya begitu grand menjadi hambar dek keluhan para ibu bapa yang merasakan pertandingan di peringkat sekolah menjadi lebih tersusun. Untuk 3 kategori, hanya satu laptop sahaja yang digunakan, itu pun bukannya di tempat pertandingan. Sebelum pusingan pertama, tiada nama peserta dilekatkan untuk tujuan disemak oleh para peserta. Begitu juga dengan susunan ratting yang nampak seakan disusun secara suka hati sahaja. Bayangkan ratting yang disusun langsung tidak betul bukan sahaja pada perkiraan orang-orang yang tahu ilmu matematika, malahan juga semua ibu bapa yang hadir. Semoga kelemahan ini akan dapat diperbaiki pada masa-masa yang akan datang. MC hanya melaporkan apa keluhan yang telah dilepaskan oleh para ibu bapa yang ditemui sewaktu kejohanan berlangsung. Sekian, yang baik jadikan tauladan dan yang buruk jadikan sempadan.

Friday, November 6, 2009

Kakak.....Kenangan terakhirmu

Tanggal 2 Nove,ber 2009, satu lagi kematian mengurangi bilangan saudara mara ku. Kali ini giliran kakak tercinta pula menyambut seruan illahi. Pemergiannya setelah 4 bulan diuji dengan barah amat terasa bagi kami sekeluarga. Walaubagaimanapun jika kematian adalah yang terbaik ditentukan untuknya, maka kami semua redha dengan ketentuan illahi yang pastinya telah menentukan segala yang terbaik dalam seluruh perjalanan hidupnya. Alhamdulillah, kali ini perjalanan aku dari Rawang untuk ke kampung halaman tidak menemui sebarang kesukaran. Aku masih berkesempatan untuk menguruskan jenazah yang merupakan jenazah ketiga setelah sebelumnya kakanda sulungku serta ayahanda ku yang terdahulu menemui Illahi.

Setelah pipinya kukucup buat kali terakhir dan disempurnakan pengkebumiannya, dan selepas sempurnanya majlis tahlil yang kami lakukan secara bergotong royong sesama saudara mara, aku mendapatkan anak buahku yang ada disamping ibunya sebelum beliau meninggal dunia. Menurut anak saudaraku, ibunya sempat bergurau senda dan menyatakan keinginannya untuk menunaikan haji. Bukan itu sahaja, malahan ibunya (kakakku) juga telah menentukan pipinya yang mana untuk dicium oleh suami dan anak-anaknya. Tersentuh juga hatiku bila mengetahui nama ku juga turut disebut sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya. Beliau juga meminta untuk membelai rambut anak saudaraku yang telah berusia 20-an ketika diminta tidur di atas pergelangan tangannya. Sambil menyatakan yang dia ingin tidur panjang. Anak saudaraku tersentuh dengan semua permintaan ibunya itu dan mungkin menyedari ada sesuatu yang tersirat yang mungkin cuba disampaikannya, maka anak saudaraku melayan semua perimintaan tersebut sambil meminta ibunya mengucap dua kalimah syahadah sebelum tidur. Setelah dua kali diucap kalimah, anak saudaraku memasang kaset yang mengalunkan bacaan yassin sambil diikuti secara perlahan oleh ibunya. Sambil mengusap rambut puterinya itu, beliau mengumitkan bibirnya mengikut alunan bacaan yassin sehinggalah tangan yang membelai rambut puterinya itu terkulai layu....... Al-fatehah. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh ALLAH s.w.t. dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.