KELUARGAKU

family galery

Wednesday, June 27, 2012

DAIRI HIDUP

Seperti  biasa, masa-masa bagaikan berlari dengan pantas sekali dalam hidupku. Baru beberapa hari berlalu, tatkala puteraku pulang bersama sebuah kejayaan di Vietnam, lantaran aku kembali berhadapan dengan rutin yang selama ini sering sahaja menghambat masa rehat dalam hidupku. Apa kan daya kerana mungkin ini jugalah yang pernah dilalui oleh Almarhum ayahandaku seketika dahulu. Namun, terubat sedikit keletihan ini bila mengetahui sang putera masih ampuh bertahan di singgahsana pencapaian akademiknya. Begitu jugalah puteri-puteriku yang juga masih mengekalkan kedudukan 3 terbaik dalam kelas masing-masing dengan dominasi berterusan si bongsu di carta kelas, sambil sedikit kejatuhan puteri keduaku dari nombor 1 ke nombor 2. Apa-apapun, alhamdulillah, tangan tetap kutadah tika bermunajat padaNya atas segala kurniaan ini,

Ada beberapa lagi perkara-perkara besar nan penting yang bakal kulalui masa terdekat ini. Penglibatan anak-anak dalam kejohanan antarabangsa yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur dengan penyertaan jagoaan dunia semestinya lah tidak mahu dilepaskan peluang ini begitu sahaja. Biarkan mereka bertarung dengan pemain-pemain yang hebat ini kerana pertandingan bukan sahaja soal kalah menangnya, tetapi juga soal belajar dan pembelajaran. Kadang-kadang kalah adalah lebih baik seandainya mereka mendapat pengajaran tentang kekalahan tersebut daripada menang hanya dek kesilapan mudah lawan.

Penuh lagi lah nampaknya helaian kosong dairi hidupku ini dengan tinta-tinta catatan. Moga catatan itu adalah emas yang dapat menceriakan kala keletihan menerpa. Baru kusedar sebenarnya, menjadi bapa bukanlah semudah yang disangka. Betapa hebatnya ayahku semasa usianya dulu...... Ya Allah... Ampunilah dosa-dosa ketika hidupnya dan kupohon kau tempatkanlah dia bersama golongan-golongan yang beriman..AMIN.




Wednesday, June 13, 2012

PERJUANGAN YANG TAK PERNAH SELESAI

Alhamdulillah....Syukur kepada ALLAH s.w.t yang telah mempermudahkan perjalanan hidup kami sekeluarga. Seperti biasa, jadual harian kami padat, apatah lagi menjelang cuti persekolahan. Seingat aku sudah beberapa tahun berlalu, istilah cuti bagaikan langsung tak pernah wujud dalam dairi hidup kami. Mungkin bagi orang lain, cuti bermaksud dapat merehatkan seketika minda tetapi bagi kami ketika cuti inilah minda perlu bekerja berkali ganda. Apa tidaknya, sepanjang cuti inilah jadual pertandingan catur menimpa-nimpa. Setelah berpenat lelah berjuang di peringkat daerah dan negeri, time cuti inilah perjuangan berterusan untuk mengharumkan nama negeri ke peringkat kebangsaan serta nama negara ke peringkat antarabangsa.

Sepanjang cuti persekolahan, kami berkampung di Terengganu sempena MSSM. 6 hari di sana menjanjikan aliran wang yang bukan sedikit. Apa pun mungkin inilah pengorbanan yang tersembunyi sebagai ayah dan ibu kepada pejuang-pejuang kecil ini. Terasa agak berbaloi apabila anak-anak berjaya melaksanakan misi mereka untuk membantu Selangor mempertahankan kejuaraan bagi empat tahun berturut-turut. Syukur padaMu, ALLAH.

Tamat sahaja pertandingan di sana, aku seperti biasa bergegas memandu pulang ke KL. Masa harus digunakan secara optima kerana pakaian dan makanan untuk anak yang akan berangkat ke Vietnam keesokan harinya perlu dibereskan. Kesian juga bila melihat riak wajah mereka yang belum merasa nikmat cuti ini. Sampai sahaja di KL, mereka berjaya bercuti selama beberapa jam kerana tepat jam 9.00 pagi keesokannya, aku bergegas pula ke lapangan terbang Kuala Lumpur untuk menemaninya yang akan terbang ke Vietnam, jam 1.30. Selama 10 hari berada di sana ketika rakan-rakan lain kembali dari percutian untuk menyambung sesi persekolahan bukanlah merupakan perkara yang menyeronokkan. Ini kerana pulang nanti, sebelum penat hilang, pelbagai kerja-kerja sekolah yang tertinggal sepanjang di rantau orang perlu dibereskan agar tidak ketinggalan. Pencapaian akademik tetap diberikan penekanan yang amat khusus biarlah sesibuk dan sepenat manapun. 

Tatkala ini kucoretkan, Azam baru masuk ke dewan pertandingan bagi pusaingan ke-4. Semoga 4jam ini akan memihak kepadanya, Amin. Berjuanglah wahai anakku....Demi negara, lupakan segala keperitan yang sedang kau tanggung kala ini kerana perjuangan untuk memartabatkan negara dan bangsa adalah merupakan perjuangan yang murni. Hanya doa kami iringi dari sini.