KELUARGAKU

family galery

Monday, August 13, 2012

Ramadhan@Shah Alam

Sewaktu tinta berita ini dicatat, lagi 5 hari sahaja buat umat Islam di Malaysia ini untuk melengkapkan puasa di bulan Ramadhan ini dan selanjutnya hari kemenangan, hari raya Aidilfitri akan menampakkan wajah cerianya. Justeru, dapat kutanggap wajah-wajah anak didik yang tadinya berada di hadapanku pastinya akan ceria, seceria pagi yang menerima kunjungan mentari.

Hari Sabtu yang baru mengangkat punggungnya berlalu pergi pada dua hari yang lalu, aku bersama keluarga berada di perpustakaan Raja Uda, Shah Alam sedari jam 9.30 pagi sehinggalah ke jam 6.00 petang. Kehadiran kami kali ini bukanlah untuk mentelaah, apatah lagi untuk mencari kandungan kerja khusus anak-anak. Tetapi misi kami kali ini ialah untuk menelusuri pertandingan catur piala Menteri Besar. Biarpun Ramadhan berteman, namun seseaki jangan dijadikan alasan Ramadhan pengganggu aktiviti kerana kenyataannya yang benar lagi tepat adalah Ramadhan datang bersama kekuatan yang luar biasa bagi umat Islam.

Setelah bertngukus lumus berjuang, akhirnya Maisarah, Munirah dan Azam berjaya menggapai impian yang telah disasarkan kepada mereka. Sedikit duit raya daripada hadiah kemenangan buat mereka. Peserta yang menghampiri jumlah 300 orang memeriahkan kejohanan yang dianjurkan sempena hari belia peringkat negeri Selangor itu. Kedua-dua peserta tegar Filipina mendominasi pertandingan yang penuh cabaran dan debaran tersebut. 

Kulihat wajah puteri bongsuku yang langsung tidak mengendahkan sedapnya KFC, McDonald dan lain-lain lagi bersama air minuman yang bercambah warnanya dibawa dan dinikmati oleh peserta-peserta bukan Melayu. Ternyata wajahnya tidak sedikitpun kelihatan tergugat. Alhamdulillah... Ya Allah, mungkin berkat kekuatan yang telah kau berikan kepada ketiga-tiga anakku yang sememangnya telah mula berpuasa penuh ketika umur mereka 5 tahun lagi. Aku amat bersyukur kepadamu.

Kami hanya sempat berbuka di Seksyen 7, Shah Alam. Kali ini Maisarah beriya benar untuk belanja kami. Setelah selesai berbuka dan maghrib di tempat yang sama, kami mengambil kesempatan menjengah kedai tudung Pearl Haya, yang sememangnya antara kegemaran isteriku. Agak menghampakan kerana ketika itu kedai DiHaja, dan Fareeda sudahpun ditutup. Perjalanan diteruskan untuk pulang ke rumah agar terawih tidak berlalu sepi. Dalam benak telah menetapkan masjid sebagai sasaran berterawih. 

Alhamdulillah.... apa yang dicita-citakan semuanya menjadi kenyataan pada suatu hari di bulan Ramadhan di sebuah kota bernama Shah Alam.