KELUARGAKU

family galery

Monday, August 13, 2012

Ramadhan@Shah Alam

Sewaktu tinta berita ini dicatat, lagi 5 hari sahaja buat umat Islam di Malaysia ini untuk melengkapkan puasa di bulan Ramadhan ini dan selanjutnya hari kemenangan, hari raya Aidilfitri akan menampakkan wajah cerianya. Justeru, dapat kutanggap wajah-wajah anak didik yang tadinya berada di hadapanku pastinya akan ceria, seceria pagi yang menerima kunjungan mentari.

Hari Sabtu yang baru mengangkat punggungnya berlalu pergi pada dua hari yang lalu, aku bersama keluarga berada di perpustakaan Raja Uda, Shah Alam sedari jam 9.30 pagi sehinggalah ke jam 6.00 petang. Kehadiran kami kali ini bukanlah untuk mentelaah, apatah lagi untuk mencari kandungan kerja khusus anak-anak. Tetapi misi kami kali ini ialah untuk menelusuri pertandingan catur piala Menteri Besar. Biarpun Ramadhan berteman, namun seseaki jangan dijadikan alasan Ramadhan pengganggu aktiviti kerana kenyataannya yang benar lagi tepat adalah Ramadhan datang bersama kekuatan yang luar biasa bagi umat Islam.

Setelah bertngukus lumus berjuang, akhirnya Maisarah, Munirah dan Azam berjaya menggapai impian yang telah disasarkan kepada mereka. Sedikit duit raya daripada hadiah kemenangan buat mereka. Peserta yang menghampiri jumlah 300 orang memeriahkan kejohanan yang dianjurkan sempena hari belia peringkat negeri Selangor itu. Kedua-dua peserta tegar Filipina mendominasi pertandingan yang penuh cabaran dan debaran tersebut. 

Kulihat wajah puteri bongsuku yang langsung tidak mengendahkan sedapnya KFC, McDonald dan lain-lain lagi bersama air minuman yang bercambah warnanya dibawa dan dinikmati oleh peserta-peserta bukan Melayu. Ternyata wajahnya tidak sedikitpun kelihatan tergugat. Alhamdulillah... Ya Allah, mungkin berkat kekuatan yang telah kau berikan kepada ketiga-tiga anakku yang sememangnya telah mula berpuasa penuh ketika umur mereka 5 tahun lagi. Aku amat bersyukur kepadamu.

Kami hanya sempat berbuka di Seksyen 7, Shah Alam. Kali ini Maisarah beriya benar untuk belanja kami. Setelah selesai berbuka dan maghrib di tempat yang sama, kami mengambil kesempatan menjengah kedai tudung Pearl Haya, yang sememangnya antara kegemaran isteriku. Agak menghampakan kerana ketika itu kedai DiHaja, dan Fareeda sudahpun ditutup. Perjalanan diteruskan untuk pulang ke rumah agar terawih tidak berlalu sepi. Dalam benak telah menetapkan masjid sebagai sasaran berterawih. 

Alhamdulillah.... apa yang dicita-citakan semuanya menjadi kenyataan pada suatu hari di bulan Ramadhan di sebuah kota bernama Shah Alam.

Wednesday, June 27, 2012

DAIRI HIDUP

Seperti  biasa, masa-masa bagaikan berlari dengan pantas sekali dalam hidupku. Baru beberapa hari berlalu, tatkala puteraku pulang bersama sebuah kejayaan di Vietnam, lantaran aku kembali berhadapan dengan rutin yang selama ini sering sahaja menghambat masa rehat dalam hidupku. Apa kan daya kerana mungkin ini jugalah yang pernah dilalui oleh Almarhum ayahandaku seketika dahulu. Namun, terubat sedikit keletihan ini bila mengetahui sang putera masih ampuh bertahan di singgahsana pencapaian akademiknya. Begitu jugalah puteri-puteriku yang juga masih mengekalkan kedudukan 3 terbaik dalam kelas masing-masing dengan dominasi berterusan si bongsu di carta kelas, sambil sedikit kejatuhan puteri keduaku dari nombor 1 ke nombor 2. Apa-apapun, alhamdulillah, tangan tetap kutadah tika bermunajat padaNya atas segala kurniaan ini,

Ada beberapa lagi perkara-perkara besar nan penting yang bakal kulalui masa terdekat ini. Penglibatan anak-anak dalam kejohanan antarabangsa yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur dengan penyertaan jagoaan dunia semestinya lah tidak mahu dilepaskan peluang ini begitu sahaja. Biarkan mereka bertarung dengan pemain-pemain yang hebat ini kerana pertandingan bukan sahaja soal kalah menangnya, tetapi juga soal belajar dan pembelajaran. Kadang-kadang kalah adalah lebih baik seandainya mereka mendapat pengajaran tentang kekalahan tersebut daripada menang hanya dek kesilapan mudah lawan.

Penuh lagi lah nampaknya helaian kosong dairi hidupku ini dengan tinta-tinta catatan. Moga catatan itu adalah emas yang dapat menceriakan kala keletihan menerpa. Baru kusedar sebenarnya, menjadi bapa bukanlah semudah yang disangka. Betapa hebatnya ayahku semasa usianya dulu...... Ya Allah... Ampunilah dosa-dosa ketika hidupnya dan kupohon kau tempatkanlah dia bersama golongan-golongan yang beriman..AMIN.




Wednesday, June 13, 2012

PERJUANGAN YANG TAK PERNAH SELESAI

Alhamdulillah....Syukur kepada ALLAH s.w.t yang telah mempermudahkan perjalanan hidup kami sekeluarga. Seperti biasa, jadual harian kami padat, apatah lagi menjelang cuti persekolahan. Seingat aku sudah beberapa tahun berlalu, istilah cuti bagaikan langsung tak pernah wujud dalam dairi hidup kami. Mungkin bagi orang lain, cuti bermaksud dapat merehatkan seketika minda tetapi bagi kami ketika cuti inilah minda perlu bekerja berkali ganda. Apa tidaknya, sepanjang cuti inilah jadual pertandingan catur menimpa-nimpa. Setelah berpenat lelah berjuang di peringkat daerah dan negeri, time cuti inilah perjuangan berterusan untuk mengharumkan nama negeri ke peringkat kebangsaan serta nama negara ke peringkat antarabangsa.

Sepanjang cuti persekolahan, kami berkampung di Terengganu sempena MSSM. 6 hari di sana menjanjikan aliran wang yang bukan sedikit. Apa pun mungkin inilah pengorbanan yang tersembunyi sebagai ayah dan ibu kepada pejuang-pejuang kecil ini. Terasa agak berbaloi apabila anak-anak berjaya melaksanakan misi mereka untuk membantu Selangor mempertahankan kejuaraan bagi empat tahun berturut-turut. Syukur padaMu, ALLAH.

Tamat sahaja pertandingan di sana, aku seperti biasa bergegas memandu pulang ke KL. Masa harus digunakan secara optima kerana pakaian dan makanan untuk anak yang akan berangkat ke Vietnam keesokan harinya perlu dibereskan. Kesian juga bila melihat riak wajah mereka yang belum merasa nikmat cuti ini. Sampai sahaja di KL, mereka berjaya bercuti selama beberapa jam kerana tepat jam 9.00 pagi keesokannya, aku bergegas pula ke lapangan terbang Kuala Lumpur untuk menemaninya yang akan terbang ke Vietnam, jam 1.30. Selama 10 hari berada di sana ketika rakan-rakan lain kembali dari percutian untuk menyambung sesi persekolahan bukanlah merupakan perkara yang menyeronokkan. Ini kerana pulang nanti, sebelum penat hilang, pelbagai kerja-kerja sekolah yang tertinggal sepanjang di rantau orang perlu dibereskan agar tidak ketinggalan. Pencapaian akademik tetap diberikan penekanan yang amat khusus biarlah sesibuk dan sepenat manapun. 

Tatkala ini kucoretkan, Azam baru masuk ke dewan pertandingan bagi pusaingan ke-4. Semoga 4jam ini akan memihak kepadanya, Amin. Berjuanglah wahai anakku....Demi negara, lupakan segala keperitan yang sedang kau tanggung kala ini kerana perjuangan untuk memartabatkan negara dan bangsa adalah merupakan perjuangan yang murni. Hanya doa kami iringi dari sini.

Tuesday, February 14, 2012

Setelah hatrik.....Rehat sebentar

Aku bakal terlepas aksi-aksi Kejohanan Olahraga Daerah Hulu Selangor pada tahun ini tidak sebagaimana tahun - tahun sebelumnya. Apa - apa pun ini adalah keputusan yang diambil oleh aku sendiri, lantaran kesakitan teramat yang sedang ditanggung pada peha ini yang juga merupakan kenangan ketika melatih olahraga kira-kira 3 tahun yang lalu.

Sewaktu aku mengambil alih pasukan elit olahraga SKTBR 1 ini adalah ketika mereka menjadi pemenang tempat ke-3 peringkat daerah. Tahun pertama di bawahku, berbekalkan kaedah lama nan kuno tetapi sekurang-kurangnya pernah berhasil terhadap diri ku ketika bergelar atlit seketika dahulu, ku praktikkan di sini dan hasilnya kami berjaya memperolehi tempat kedua di peringkat daerah Hulu Selangor. Tika itu SKTBR 1 sudah berjaya mendapat 2 pingat emas.

Berbekalkan semangat tersebut, tahun berikutnya kami telah berjaya menjadi Johan Daerah Hulu Selangor dengan mengenepikan cabaran sekolah - sekolah lain. Kejayaan tersebut telah meningkatkan moral dan semangat kami. Ketakutan dan perasaan gentar pihak lawan juga telah mula menebal sehinggalah 3 tahun berturut-turut SKTBR 1 menjadi juara, bermula tahun 2009, 2010, dan 2011.

Kini semua bakal menjadi kenangan terindah buat ku. Walaupun tidak semua warga SKTBR 1 yang tahu peristiwa sepanjang tahun - tahun tersebut, khususnya tentang apa yang berlaku baik di SMK Syed Masyor mahu pun Stadium Proton City, Tanjung Malim. Bukan tujuan untuk mengenang sejarah bersifat negatif tetapi sekadar ingin menayangkannya buat seketika di benak minda tentang bagaimana pertengkaran demi pertengkaran, pertelingkahan serta perselisihan pendapat dan protes sehingga acapkali terpaksa diselesaikan oleh campur tangan pihak PPD, khususnya Puan Sarina dan Encik Azimi.

Semua itu terjadi kerana mempertahankan kepentingan murid-murid SKTBR 1. Bagaimana harus bersabar jika murid kita yang telah memenangi sesuatu acara, tiba-tiba sahaja hendak dibatalkan dan dilucutkan kemenagannya atas pelbagai alasan, sama ada oleh hakim yang tidak dilantik, mahupun jurulatih-jurulatih sekolah lain yang juga mendambakan sebanyak mungkin mata untuk memenangi kejohanan dan menyisihkan kita di mercu juara.

Begitu jugalah bagaimana nama ini tiba-tiba sahaja menjadi glamour di JPN ketika mempertahankan betapa Irfan (murid SKTBR 1) yang berjaya menjadi olahragawan di peringkat negeri dinafikan haknya untuk mewakili Negeri Selangor pada kejohanan MSSM pada tahun tersebut. Akhirnya Irfan terpilih juga mewakili negeri. Mungkin peranan orang lain lebih besar dalam isu ini tetapi aku tetap puas, kerana setidak -tidaknya aku juga berjuang untuk membolehkan dia merasa juga pengalaman sebagai seorang atlit negeri Selangor. Ketika mengadap arwah Latipi (ketua Unit Sukan JPN), aku cuma pohon agar diletakkan nama Irfan memandangkan tahun tersebut Selangor menjadi tuan rumah MSSM. Aku juga memberi komitmen bahawa guru-guru dan ibu bapa Irfan sanggup menyediakan semua kemudahan buat Irfan sepanjang latihan di Petaling Jaya.

Semua perbuatan ini aku lakukan demi murid-murid ku,  yang pastinya anak orang lain dan bukannya anakku kerana anakku tidak mempunyai bakat dalam bidang ini. Aku doakan kontinjen tahun ini juga akan mampu mempertahankan kejuaraan demi SKTBR 1 dihatiku................................AMIN.
Terima kasih atas segalanya.................walaupun banyak untuk diceritakan tapi biarlah kerana kadang-kadang itu adalah lebih baik

Wednesday, January 11, 2012

Fasa Baru Pada Sebuah Perjalanan Kehidupan

Alhamdulillah...... KUSESS ( Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor ) menjadi destinasi pendidikan peringkat menengah untuk puteraku, Muhammad Noor Azam mencari sebanyak mungkin ilmu. Bukan sahaja duniawi mahupun ukhrawi, malahan juga ilmu tentang kedewasaan. Semoga semuanya akan dapat dipelajari dengan sempurna mungkin.

Mengimbau kembali sejarah perjalanan insan bernama Azam ini, pelbagai warna mencorak kehidupannya. Bermula sebagai seorang budak yang sudah mahir membaca akhbar seawal usia 3 tahun. Dia telah menyertai pelbagai pertandingan membaca, mewarna, bercerita Bahasa Inggeris dan sebagainya. Tiada sekelumitpun ketakutan membaluti hatinya pada ketika itu.

Bermula sebagai seorang murid di SK Bukit Sentosa, Rawang di tahun 1 sehingga tahun 4,  anak kecil ini dibiarkan sendirian bertatih di institusi terasing baginya untuk menuntut ilmu bagi memenuhi dadanya. Alhamdulillah, kurniaan Allah kepada anak kecil ini terserlah bilamana dia menjinakkan diri dalam sukan catur. Berkat kesungguhannya membuat ulangkaji permainan, akhirnya dia telah berjaya mengharumkan nama sekolah, daerah, negeri Selangor dan negara Malaysia.

Ketika di tahun 3, Encik Hasim, mantan GB SKTBR 1 telah melahirkan keinginan dan impiannya untuk membawa anak kecil ini ke SKTBR 1. Malahan kesungguhan dan keikhlasannya ke arah itu diperlihatkan dengan pelbagai kemudahan yang telah ditawarkan jika bersetuju. Hasrat itu dibiarkan sahaja berlalu oleh keluarganya setelah mengambil kira semua perkara. Akhirnya atas dasar ingin memajukan institusi sendiri maka saya telah mengambil keputusan untuk memindahkannya ke SKTBR 1 ketika dia di tahun 5 tetapi tiada satu keistimewaan yang pernah dijanjikan pun yang ditagih di sini.  Cukuplah sekadar ilmu yang diajar difahami sedalamnya oleh anak kecil ini. Saat itu jugalah bermulanya perjalanan kisah hidup Azam di SKTBR 1.

Wednesday, December 14, 2011

Lega Rasanya

Alhamdulillah....Syukur kepada ALLAH S.W.T. Setelah bertungkus lumus sepanjang tahun 2011 ini dengan pelbagai jenis pertandingan di dalam dan luar negeri dan mengumpul beberapa kejayaan yang membanggakan, dapat juga putera ku ini membahagikan masa dengan sebaiknya untuk menghadapi UPSR. Setelah 5A berjaya digenggam, kini perjalanan kedewasaannya bermula di fasa yang seterusnya. Semoga semuanya akan lebih baik di Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor nanti.

Tuesday, April 26, 2011

PENING UNTUK SEBUAH PENINGKATAN

Tahun ini cubaan buat aku semakin hebat rupanya. Dalam kesungguhan membimbing anak-anak dalam sukan catur, aku berhadapan dengan dugaan yang besar. Mana tidaknya, ketiga-tiga anakku telah berjaya mewalkili Malaysia pada tahun ini. Mungkin ia bukanlah perkara baru bagi Azam dan Maisarah tetapi bagaimana pula dengan Munirah ?.

Aku telah berjanji untuk membenarkannya mengikuti kejohanan luar negara jika terpilih mewakili Malaysia. Padaku mungkin agak sukar baginya memandangkan usianya yang baru sahaja menjangkau 6 tahun. Apatah lagi terpaksa bersaing dengan pemain-pemain yang lebih berusia darinya serta sarat dengan pengalaman masing-masing. Nyata telahanku meleset apabila dia telah berjuang bersungguh-sungguh dan akhirnya telah berjaya untuk mewakili Malaysia, bukan sahaja ke kejohanan peringkat asean, malahan asia dan dunia. Jadi aku semakin pening memikirkan bagaimana harus aku mengotakan janjiku padanya. Jika tidak dikota, takut-takut nanti, semangatnya semakin hambar untuk bermain catur lagi......sedangkan aku sangat mendambakan peningkatannya dalam sukan ini..... Untuk sebuah peningkatan inilah yang sedang memeningkan aku......