KELUARGAKU

family galery

Tuesday, February 14, 2012

Setelah hatrik.....Rehat sebentar

Aku bakal terlepas aksi-aksi Kejohanan Olahraga Daerah Hulu Selangor pada tahun ini tidak sebagaimana tahun - tahun sebelumnya. Apa - apa pun ini adalah keputusan yang diambil oleh aku sendiri, lantaran kesakitan teramat yang sedang ditanggung pada peha ini yang juga merupakan kenangan ketika melatih olahraga kira-kira 3 tahun yang lalu.

Sewaktu aku mengambil alih pasukan elit olahraga SKTBR 1 ini adalah ketika mereka menjadi pemenang tempat ke-3 peringkat daerah. Tahun pertama di bawahku, berbekalkan kaedah lama nan kuno tetapi sekurang-kurangnya pernah berhasil terhadap diri ku ketika bergelar atlit seketika dahulu, ku praktikkan di sini dan hasilnya kami berjaya memperolehi tempat kedua di peringkat daerah Hulu Selangor. Tika itu SKTBR 1 sudah berjaya mendapat 2 pingat emas.

Berbekalkan semangat tersebut, tahun berikutnya kami telah berjaya menjadi Johan Daerah Hulu Selangor dengan mengenepikan cabaran sekolah - sekolah lain. Kejayaan tersebut telah meningkatkan moral dan semangat kami. Ketakutan dan perasaan gentar pihak lawan juga telah mula menebal sehinggalah 3 tahun berturut-turut SKTBR 1 menjadi juara, bermula tahun 2009, 2010, dan 2011.

Kini semua bakal menjadi kenangan terindah buat ku. Walaupun tidak semua warga SKTBR 1 yang tahu peristiwa sepanjang tahun - tahun tersebut, khususnya tentang apa yang berlaku baik di SMK Syed Masyor mahu pun Stadium Proton City, Tanjung Malim. Bukan tujuan untuk mengenang sejarah bersifat negatif tetapi sekadar ingin menayangkannya buat seketika di benak minda tentang bagaimana pertengkaran demi pertengkaran, pertelingkahan serta perselisihan pendapat dan protes sehingga acapkali terpaksa diselesaikan oleh campur tangan pihak PPD, khususnya Puan Sarina dan Encik Azimi.

Semua itu terjadi kerana mempertahankan kepentingan murid-murid SKTBR 1. Bagaimana harus bersabar jika murid kita yang telah memenangi sesuatu acara, tiba-tiba sahaja hendak dibatalkan dan dilucutkan kemenagannya atas pelbagai alasan, sama ada oleh hakim yang tidak dilantik, mahupun jurulatih-jurulatih sekolah lain yang juga mendambakan sebanyak mungkin mata untuk memenangi kejohanan dan menyisihkan kita di mercu juara.

Begitu jugalah bagaimana nama ini tiba-tiba sahaja menjadi glamour di JPN ketika mempertahankan betapa Irfan (murid SKTBR 1) yang berjaya menjadi olahragawan di peringkat negeri dinafikan haknya untuk mewakili Negeri Selangor pada kejohanan MSSM pada tahun tersebut. Akhirnya Irfan terpilih juga mewakili negeri. Mungkin peranan orang lain lebih besar dalam isu ini tetapi aku tetap puas, kerana setidak -tidaknya aku juga berjuang untuk membolehkan dia merasa juga pengalaman sebagai seorang atlit negeri Selangor. Ketika mengadap arwah Latipi (ketua Unit Sukan JPN), aku cuma pohon agar diletakkan nama Irfan memandangkan tahun tersebut Selangor menjadi tuan rumah MSSM. Aku juga memberi komitmen bahawa guru-guru dan ibu bapa Irfan sanggup menyediakan semua kemudahan buat Irfan sepanjang latihan di Petaling Jaya.

Semua perbuatan ini aku lakukan demi murid-murid ku,  yang pastinya anak orang lain dan bukannya anakku kerana anakku tidak mempunyai bakat dalam bidang ini. Aku doakan kontinjen tahun ini juga akan mampu mempertahankan kejuaraan demi SKTBR 1 dihatiku................................AMIN.
Terima kasih atas segalanya.................walaupun banyak untuk diceritakan tapi biarlah kerana kadang-kadang itu adalah lebih baik