KELUARGAKU

family galery

Saturday, August 29, 2009

PERSAHABATAN



Apa ertinya sahabat dan persahabatan ?. Jika nak diulas, mahu sahaja lenguh jemari jua berbuih mulut mentafsirkannya. Namun kata orang - orang lama, sahabat lahirnya dari kejernihan atau keikhlasan perhubungan seorang insan bernama kawan. Dari kawan itulah bakal dipanjangkan perhubungan itu menjadi sahabat kerana sahabat mempunyai pengertian yang lebih erat dan rapat akan pertalian perhubungan sesama sendiri.

Tentu sahaja sahabat mempunyai kuasa kepercayaan yang tinggi melebihi tahap yang diletakkan kepada seseorang kawan. Sahabat sepatutnya atau kebiasaannya mendokong rahsia tertentu sahabatnya supaya sentiasa terpelihara serta tidak memomokkan apa juga kerahsiaan itu terhadap pihak lainnya. Pun begitu tanggungjawab sebagai seorang sahabat adalah lebih berat kerana sahabat seperlunya menasihatkan sahabatnya ketika dia lupa dan alpa serta hanyut oleh sesuatu yang tidak mendatangkan kebaikan atau faedah.

Hari ini menjadi seorang kawan adalah segampang perkara tetapi untuk menjadi seorang sahabat haruslah teruji dengan sifat baik dan jujurnya dahulu. Masakan, untuk menyatakan sesuatu itu sedap hanya sekadar mencium baunya sahaja ? Tahap kawan juga boleh diklasifikasikan kepada beberapa tingkat seperti kawan internet, kawan kedai kopi, dan kawan yang boleh dibawa ke rumah. Sudah tentulah kawan-kawan yang mengelilingi kita hari ini mempunyai tahapnya yang tersendiri pada kita. Ini bukannya kenyataan bebaur tanggapan pesimis terhadap kawan tetapi melambangkan keakraban mereka dengan kita. Kawan yang rapat atau telah diiktiraf sahabat oleh kita sudah semestinya dialu-alukan bertandang ke rumah kita kerana espirit de corp yang kuat yang dapat kita rasakan bersama. Justeru, insan ini tidak mungkin akan tersenyum di hadapan kita tetapi sebenarnya menghentam kita dari belakangnya. Renung-renungkanlah bersama siapa sebenarnya sahabat kita dan siapa pula kawan kita ? Sekian.

0 Comments: