KELUARGAKU

family galery

Thursday, August 27, 2009

UTUSAN MALAYSIA......MSSD 2009

ALBUM UTUSAN MALAYSIA

Noor Azam juara catur MSSM


NOOR Azam gembira berjaya mempertahankan kejuaraan Kejohanan Catur MSSM Daerah Hulu Selangor baru-baru ini.

Kejohanan Catur Majlis Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Daerah Hulu Selangor menyaksikan pelajar Tahun 4 dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Sentosa, Rawang, Muhammad Noor Azam Mohamad Nor, 10, mempertahankan kejuaraannya buat kali kedua berturut-turut.

Dia yang menyertai kategori individu di bawah 12 tahun memenangi kesemua tujuh perlawanan yang disertainya.

Selain itu Muhammad Noor Azam yang merupakan ketua pasukan bagi SK Bukit Sentosa turut membantu sekolahnya muncul Johan bagi kategori Berkumpulan Lelaki dengan jumlah pungutan mata 22.5.

Dia yang bercita-cita untuk menjadi doktor pakar, berazam meraih banyak kejayaan dalam pertandingan catur terutama menggenggam juara bagi pertandingan National Master.

Kejohanan yang berlangsung di SK Serendah turut menyaksikan aksi hebat peserta termuda yang juga merupakan adik Muhammad Noor Azam iaitu Zainoor Ikmal Maisarah, yang berusia tujuh tahun.

Zainoor Ikmal Maisarah yang mewakili SK Taman Bunga Raya 1 walaupun tidak sehebat abangnya namun berjaya mengharungi perlawanan dengan hanya tewas satu daripada tujuh perlawanan yang disertai.

Aksi tangkas dan tenangnya mencuri perhatian penonton kerana berjaya menewaskan lawannya yang terdiri daripada pelajar Tahun 6.

Walaupun memperoleh tempat ketiga bagi kategori individu bawah 12 tahun Perempuan, Zainoor Ikmal Maisarah berjaya membantu sekolahnya untuk muncul Johan bagi kategori berkumpulan Perempuan.

Kedua-dua beradik tersebut akan mewakili daerah Hulu Selangor bagi kejohanan peringkat Negeri Selangor pada 23 - 26 Februari ini yang akan diadakan di Sepang.

Sebagai persediaan menghadapi kejohanan tersebut, kedua-duanya giat berlatih ketika ada kelapangan di rumah, di samping merancang untuk menyertai beberapa kejohanan yang akan diadakan di beberapa kawasan pada masa yang terdekat.

Kejayaan mereka bukan sahaja membanggakan kedua ibu bapa mereka malah juga seluruh warga sekolah masing-masing, serta guru pertama yang memperkenalkan catur kepada keduanya iaitu Zulkafli Mat Daud yang juga merupakan Pengerusi Teknik Catur Daerah Hulu Selangor dan Sufiah Mohamad, yang merupakan Pengerusi Teknik Catur Negeri Selangor.

Dalam pada itu, kejohanan tersebut akan menjadi platform dan medan yang terbaik untuk Zainoor Ikmal Maisarah menimba pengalaman yang berguna baginya untuk terus mengharungi cabaran yang lebih hebat lagi dalam permainan catur pada masa akan datang.

0 Comments: