KELUARGAKU

family galery

Tuesday, July 28, 2009

SEGELINTIR MELAYU MEMANG MUDAH LUPA

Benar kata Tun M, Melayu mudah lupa ! Hari ini kerajaan memutuskan untuk menghapuskan PPSMI. Bukan itu sahaja, malahan turut mengakui kegagalan dasar ini. Cuma dalam kesibukan membahaskan kegagalan dasar ini, ada juga suara-suara sumbang nan serak mengatakan kegagalan dasar ini disumbangkan oleh guru-guru kerana tidak pro aktif untuk mengajar dalam Bahasa Inggeris.

Ternayata mereka memang mudah lupa kerana dasar yang diperkenalkan ini sememangnya secara ad-hoc, kenapa? seorang teman yang baru berkahwin dua minggu yang lalu menceritakan perihal persediaan perkahwinannya. Beliau mengambil masa berbulan lamanya membuat persediaan ke arah itu. Masakan dasar yang yang menentukan hala tuju anak bangsa kita, tanpa perancangan rapi diolah dan dilaksanakan sebegitu pantas mengalahkan persediaan mi segera. Untuk mengelakkan rungutan dan dengusan guru-guru terlibat, maka kuasa duit digunakan. Hulurkan lebih sedikit, 10% mahupun 5%. Sekali lagi Melayu yang menyuarakan, meluluskan, dan yang berkepentingan ini mudah lupa, jika ini dijadikan alasan untuk meningkatkan semangat mengajar guru-guru tersebut, bagaimana pula dengan guru-guru yang mengajar subjek Bahasa Malaysia yang jauh lebih penting di bumi bernama Malaysia ini. Bukan sahaja merupakan bahasa kebangsaan kita, malahan ianya telah diputuskan untuk berperanan sebagai bahasa perpaduan kaum dan telah pula terbukti selama ini telah berjaya menyatupadukan Tee Kiat, Vellu, dan Najib ini seakan-akan tidak penting lagi dek ledakan kononnya, bernama globalisasi. Maka mungkin sebab itulah tenaga pengajar bagi subjek ini dipandang sepi.

Seorang politikus yang merupakan bekas Adun di Negeri Selangor pernah menghantar sms kepada saya dengan mengatakan bahawa bahasa sangat berkait rapat dengan kuasa. Ertinya, setiap pemimpin Melayu yang ada di segenap lapisan pentadbiran dan mempunyai kuasa wajib memperjuangkan bahasa kebangsaan kita agar sentiasa relevan dan tidak dimuziumkan. Ini tidak, bukan sahaja pakaian dan kenderaan made ini Malaysia ini low-class, malahan juga bahasa kita juga menjadi tidak grand untuk dipertuturkan oleh mereka. Sudah terang lagi bersuluh, mereka terlupa lagi.

Budaya lupa ini sebenarnya bukan baru bertunas, malah sudah berkudis, bernanah, dan berparut di dada orang kita. Jika tidak, masakan setiap kali pilihanraya, pelbagai janji ditabur tetapi setelah berkuasa, janji tinggal janji. Yang peliknya, kita yang di bawah ini masih memilih mereka untuk mewakili kita ? Buang sahaja Melayu pelupa ini dan gantikan dengan Melayu yang mungkin mempunyai daya ingatan yang hebat. Lagipun bukankah insan pelupa tidak layak mentadbir dan memimpin.

Begitulah wahai bangsaku, marilah kita daulatkan bahasa kita. Bahasa yang pernah melahirkan ilmuan, negarawan, angkasawan, hartawan, dermawan, seniman, dan segenap lapisan bangsawan. Walaupun terkadang muncul sedikit setan di tengahnya. Namun kejahatan itu bukanlah kerana bahasa yang dipertuturkan kerana kejahatan biasanya terhasil amat sedikit daripada pertuturan, berbanding dengan isyarat dan gerak badan. Renung-renungkanlah teman sekalian, apa akan jadi jika bahasa sendiri terus dipinggirkan ?.

p/s : Penulis sengaja menggunakan sedikit bahasa asing dalam penulisan yang didominasi oleh bahasa kebangsaan kita. Ini menunjukkan bahasa itu sekadar sekunder sahaja seperti ibu yang boleh dicari berapa banyak yang kita hendak seperti ibu angkat dan ibu mertua tetapi ibu kandung tetap satu.

Friday, July 24, 2009

RENUNG-RENUNGKANLAH

"Pandanglah kecantikan hanya suatu keindahan yang bukan untuk diagung-agungkan"

"Cinta amat mahal takrifnya, itulah yang difitrahkan oleh Allah SWT kepada hambanya' Cinta hanya tertulis pada perkataan, tapi gagal dilihat pada zahirnya"

"Cintaku kepada Tuhan kerana aku adalah ciptaanNya. Cintaku terhadap seseorang adalah kerana perasaan yang diciptaNya"

"Ilmu pengetahuan seumpama perigi di padang pasir dan bintang di malam yang gelap, dari itu kejarilah ilmu seberapa daya yang dapat"

"Sesuatu yang berguna tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditakdirkan waktunya"

"Sekeras-keras batu dapat dihancurkan oleh titisan air yang lembut. Begitu jua sekeras-keras hati dapat ditundukkan oleh jirusan kata-kata yang lembut"

"Harta yang palinmg berharga ialah sabar, teman yang paling akrab ialah amal, pengawal yang paling berwaspada adalah diam dan ibadah yang indah ialah kyusuk"

"Terbitnya kebaikan dari keburukan dan terbitnya amalan dari pengetahuan"

"Keagungan peribadi anda terletak pada kesediaan anda untuk memberi buila beruntung, untuk memimpin bila berilmu dan untuk membela bila kuat"

"Belajarlah bersyukur ketika meraih keuntungan dan belajarlah tersenyum ketika menghadapi kerugian"

"Ibarat sekuntum mawar merah ditimpa embun pagi, lalu disirami suria indah bak pelangi, begitulah jiwa murni seseorang manusia"

LADAP

LADAP

Seorang teman menceritakan perihal LADAP (Latihan Dalam Perkhidmatan) kepada saya sambil menghirup secawan kopi 'O' di sebuah restoran mamak di pekan kecil bernama Bukit Sentosa. Menurutnya, sepanjang bulan Jun yang lalu setiap hari sabtu beliau terpaksa ke sekolah tempat beliau mengajar kerana pelbagai program LADAP telah diadakan. Anak-anak dan isterinya pula dikatakan hampir setiap minggu menarik muka kerana kehilangannya. Jika dulu, setiap Sabtu, diisi dengan melayan karenah anak-anak tetapi kini semuanya sudah berubah. Beliau yang memperuntukkan setiap Ahad untuk anak-anak menyiapkan tugasan sekolah, di samping membasuh keperluan persekolahan mereka. manakala hari Sabtu pula untuk jalan-jalan bagi melapangkan minda bersama keluarga. Beliau kecewa kerana kebanyakan program tersebut menampilkan penceramah di kalangan rakan setugas yang kononnya hebat tapi hampeh bila di belakang boss.
Dengan aksi ceramah penuh lakonan, kononnya ingin menunjukkan kesempurnaannya dalam tugasan harian menyebabkan beliau dan rakan-rakannya amat menyampah dengan program tersebut. Lebih-lebih lagi kerana terlalu mengenal peribadi sebenar si penceramah. Apakah barisan pentadbiran telah dibutakan mata mereka untuk mendapatkan penceramah yang lebih berwibawa dari luar atau sengaja berpura-pura mempunyai pandangan yang kabur terhadap respon orang lain kerana si penceramah tersebut merupakan pemuji setia mereka?
Berdasarkan apa yang diceritakan oleh teman saya ini, kesimpulan yang boleh dibuat ialah sememangnya LADAP amat mendatangkan kebaikan jika dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan dan keselesaan ramai tetapi jika terdapat unsur keterpaksaan dan segala bentuk kehadiran yang negatif, ia hanya akan menjadi program yang berjaya merenggangkan hubungan kekeluargaan atau dengan kata lainnya program Lanjutan Anak-anak Di bawah Asuhan Pengasuh (LADAP) kerana pada hari cuti sebeginipun anak-anak hanya mampu mendapat belaian dari pengasuhnya sahaja...........Alahai bosannya !!!!!!

Thursday, July 23, 2009

RAMADHAN BAKAL MENGETUK PINTU KITA

Alahamdulillah....Ramadhan yang telah kita tinggalkan dan rindui sejak setahun yang lalu bakal datang lagi menjenguk kita. Pintu-pintu amalnya yang terbuka bentang luas itu bakal menyemarakkan lagi kesungguhan kita untuk terus beribadah. Sesungguhnya bila tiba detik itu, kita antara makhlukNya yang patut menadah tangan bersyukur kerana masih lagi dipinjamkan nyawa dan dibekalkan nafas agar dapat terus menunaikan pintaNya selagi berpijak di alam ini.
Saat sebegini sememangnya mengingatkan kita tentang kepergian orang-orang yang tersayang dalah hidup kita. Bagiku, saat-saat beginilah yang amat dirasakan olehku yang telah kehilangan kekanda sulungku semenjak 1991 serta ayah tercinta sebermula 2004 lagi....... Sesungguhnya rindu ini terlalu hebat buat diriku... Namun aku mungkin juga seperti insan lain atas tebaran bumi ALLAH ini masih dikelilingi oleh insan-insan tersayang lain yang bisa menemani kita di saat-saat kita memerlukannya. Justeru, jadikanlah Ramadhan kali ini bukan sahaja untuk mendoakan kesejahteraan bagi yang telah tiada, malahan juga untuk terus merafak syukur kerana masih dikurniakan insan-insan yang bermakna dalam hidup kita.
2009 bukan lagi 1990-an, kita telah semakin dewasa dan matang dalam melayari sebuah kehidupan. Semoga kematangan ini akan menjadikan kita insan dan bukannya manusia seperti sebelumnya.