KELUARGAKU

family galery

Tuesday, November 17, 2009

Maisarah @ Hari Anugerah Cemerlang, 2009




Hari ini puteri kedua ku terlibat dalam persembahan pada Hari Anugerah Cemerlang sekolahnya. Hari Sabtu akan datang pula akan tiba tikanya adindanya akan terlibat pada persembahan sempena Hari Anugerah Cemerlang sekolahnya. Bagi ku, aku menyokong penglibatan mereka dalam aktiviti tersebut kerana terdapat banyak unsur positif yang tersirat di sebalik semua ini. Semoga semua ini berjaya menambahkan lagi keyakinan diri dan disiplin mereka kerana disiplin dan keyakinan diri inilah yang bakal mereka bawa di sepanjang pengembaraan hidup mereka dalam mengejar ilmu pengetahuan.


Saturday, November 14, 2009

Ches..ches juga......Akhirnya result final exam dah keluar

Akhirnya keputusan final exam ketiga-tiga anak ku sudah aku perolehi. Alhamdulillah, walaupun ada surut dan pasangnya keputusan mereka namun ia sudah memadai bagi kami... lebih-lebih lagi ketika minggu peperiksaan, mereka dikejutkan dengan berita kematian Mak Chaq mereka dan kami sekeluarga terpaksa bergegas pulang ke kampung di Kedah. Masa study mereka ketika itu hanyalah dalam perjalanan pulang ke kampung dan ketika dalam perjalanan pulang dari kampung kerana sesudah sampai di rumah, keesokan harinya mereka terus menduduki peperiksaan pula. Apa-apa pun, abah dan mama mengucapkan tahniah kepada kalian atas pencapaian tersebut.

Kami tahu aktiviti kalian sepanjang tahun 2009 agak padat dengan chess lah, persembahan peringkat sekolah, daerah, negeri, dan kebangsaan. Itu adalah sebahagian dari rencah-rencah kejayaan yang lebih tuntas lagi pada masa depan kalian, insyaAllah. Mungkin cuti sekolah nanti adalah masa untuk kalian tumpukan pula perhatian kalian pada pertandingan-pertandingan chess yang mungkin bakal diadakan di sana sini pula. Selalu lah ingat wahai anak-anak ku, janganlah sampai Yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula keciciran . walau siapa pun kita dalam sukan yang kita minati, pelajaran tetap perlu diutamakan.




Azam hanya mampu mendapat tempat ketiga dalam kelas 4 Anggerik. Apa pun tahniah kerana sudah pastinya dia akan meneruskan tradisi untuk terus berada di kelas 5 Anggerik pula, tradisi yang dipertahankan semenjak tahun 1 lagi.



Sedikit penurunan dalam keputusan yang diperolehi oleh Zainoor Ikmal maisarah. Dari nombor 4 terus menjunam ke nombor 9. Walaubagaimana pun masih mengekalkan kelasa Amanah pada tahun hadapan. Jadikan ini sebagai satu pedoman.Apa pun tahniah kerana masih mengekalkan keputusan 5A.




Tahniah kepada Zainoor Ikmal Munirah yang masih mengekalkan nombor 1 sepanjang tahun 2009 ini. Semoga kejayaanmu akan berterusan dan berpanjangan. Tidak sabar rasanya menantikan persembahan yang bakal diadakan pada hari penyampaian hadiah minggu hadapan.


Friday, November 13, 2009

Suam-suam kuku @ Minda Catura

Tiba-tiba sahaja satu Malaysia digemparkan dengan berita KBS akan mengiktiraf dan membangunkan sukan catur dalam erti kata biar lebih tersusun. Pelbagai reaksi gembira terukir di wajah-wajah anak-anak yang mencintai sukan ini. Setelah 3 bulan berlalu, berita tersebut seakan semakin basi ditelan masa yang semakin pantas berlari meninggalkannya. Adakah berita tersebut akan tergantung sehinggalah pilihan raya umum akan datang pula mengetuk pintu kalendar kita ? dan menteri yang lain pula akan mengambil alih teraju kepimpinan KBS ?. Secara peribadi, MC melihat Datuk Ahmad Shabery ikhlas dalam perjuangan tersebut, cuma kita, yakni peminat sukan ini dan persatuan perlulah sentiasa bergerak untuk merancang sesuatu ke arah tersebut kerana adalah mustahil jika semua perkara hendak difikirkan oleh menteri. Apalah salahnya jika kita turut meringankan bebanan beliau untuk berfikir. Biarlah beliau hanya menjadi pihak yang memutuskan keputusannya sahaja.

Bagi MC, persatuan perlulah membanyakkan kursus-kursus sama ada kejurulatihan dan kepegawaian agar sukan ini menjadi benar-benar mantap dari segi pengurusan sesuatu pertandingan. Mengambil contoh penganjuran yang telah dilakukan di salah sebuah institusi pendidikan tinggi baru-baru ini, sedikit kekesalan bila mana pengurusannya kelihatan kacau bilau. Walhal, pihak yang melaksanakan pertandingan tersebut bukannya calang-calang orang dalam sukan catur ini tapi entah di mana silapnya. Kejohanan yang sepatutnya begitu grand menjadi hambar dek keluhan para ibu bapa yang merasakan pertandingan di peringkat sekolah menjadi lebih tersusun. Untuk 3 kategori, hanya satu laptop sahaja yang digunakan, itu pun bukannya di tempat pertandingan. Sebelum pusingan pertama, tiada nama peserta dilekatkan untuk tujuan disemak oleh para peserta. Begitu juga dengan susunan ratting yang nampak seakan disusun secara suka hati sahaja. Bayangkan ratting yang disusun langsung tidak betul bukan sahaja pada perkiraan orang-orang yang tahu ilmu matematika, malahan juga semua ibu bapa yang hadir. Semoga kelemahan ini akan dapat diperbaiki pada masa-masa yang akan datang. MC hanya melaporkan apa keluhan yang telah dilepaskan oleh para ibu bapa yang ditemui sewaktu kejohanan berlangsung. Sekian, yang baik jadikan tauladan dan yang buruk jadikan sempadan.

Friday, November 6, 2009

Kakak.....Kenangan terakhirmu

Tanggal 2 Nove,ber 2009, satu lagi kematian mengurangi bilangan saudara mara ku. Kali ini giliran kakak tercinta pula menyambut seruan illahi. Pemergiannya setelah 4 bulan diuji dengan barah amat terasa bagi kami sekeluarga. Walaubagaimanapun jika kematian adalah yang terbaik ditentukan untuknya, maka kami semua redha dengan ketentuan illahi yang pastinya telah menentukan segala yang terbaik dalam seluruh perjalanan hidupnya. Alhamdulillah, kali ini perjalanan aku dari Rawang untuk ke kampung halaman tidak menemui sebarang kesukaran. Aku masih berkesempatan untuk menguruskan jenazah yang merupakan jenazah ketiga setelah sebelumnya kakanda sulungku serta ayahanda ku yang terdahulu menemui Illahi.

Setelah pipinya kukucup buat kali terakhir dan disempurnakan pengkebumiannya, dan selepas sempurnanya majlis tahlil yang kami lakukan secara bergotong royong sesama saudara mara, aku mendapatkan anak buahku yang ada disamping ibunya sebelum beliau meninggal dunia. Menurut anak saudaraku, ibunya sempat bergurau senda dan menyatakan keinginannya untuk menunaikan haji. Bukan itu sahaja, malahan ibunya (kakakku) juga telah menentukan pipinya yang mana untuk dicium oleh suami dan anak-anaknya. Tersentuh juga hatiku bila mengetahui nama ku juga turut disebut sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya. Beliau juga meminta untuk membelai rambut anak saudaraku yang telah berusia 20-an ketika diminta tidur di atas pergelangan tangannya. Sambil menyatakan yang dia ingin tidur panjang. Anak saudaraku tersentuh dengan semua permintaan ibunya itu dan mungkin menyedari ada sesuatu yang tersirat yang mungkin cuba disampaikannya, maka anak saudaraku melayan semua perimintaan tersebut sambil meminta ibunya mengucap dua kalimah syahadah sebelum tidur. Setelah dua kali diucap kalimah, anak saudaraku memasang kaset yang mengalunkan bacaan yassin sambil diikuti secara perlahan oleh ibunya. Sambil mengusap rambut puterinya itu, beliau mengumitkan bibirnya mengikut alunan bacaan yassin sehinggalah tangan yang membelai rambut puterinya itu terkulai layu....... Al-fatehah. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh ALLAH s.w.t. dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Saturday, October 31, 2009

Minda Catura @ satu kesedihan

Pernahkah kalian merasakan diri kalian tertipu dan dikhianati ?. Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah orang yang menafikan hak kalian adalah orang yang kalian anggap seperti kawan baik kalian sendiri. Tentu sedih kan ?. Hak tetap hak. Mengambil hak orang lain yang bukannya hak kita walaupun selamat sekarang, tetapi apakah akan terasa senang dan selamat selamanya ? Misalnya, jika hak seseorang itu adalah RM 400.00 tetapi kita hanya memberikan kepadanya RM 100.00, adakah kita ini telah melayannya sebagai seorang kawan?. Jika dia bukan kawan sekalipun, dia tetap berhak untuk mendapatkan haknya, kan?

Kejohanan catur UPSI open telahpun menjatuhkan tirainya. Senarai peserta yang mencecah 265 orang dilihat sebagai satu penganjuran yang berjaya, terutamanya dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu ini. Ini menunjukan pencinta sukan catur ini tidak pernah beralasan untuk mengenepikan sukan ini walau apa jua alasannya. Niat ikhlas untuk memajukan sukan ini akan membawa sukan ini ke mercu persada di bumi Malaysia ini.

Kemunculan WCM Nabila sememangnya membawa petanda bahawa ada sesuatu sinar yang boleh kita harapkan dari anak pasangan Zaza dan Azman Hisham ini pada masa hadapan. Dengan usianya yang bakal menjangkau 13 pada 2010 nanti, sudah semestinya masa masih panjang untuk dia cuba mengharumkan nama kita dalam arena catur antarabangsa. Begitu jugalah dengan kemunculan muka-muka baru yang MC perhatikan sepanjang terbuka UPSI yang lalu. MC juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Zarul Syafiq yang merancang kejohanan ini dan juga buat Izam yang melaksanakannya. MC sebenarnya berpeluang bersembang yang agak panjang dengan Izam berkenaan perjalanan kejohanan ini pada hari kedua kejohanan dan melalui perbualan telefon dengannya sehari setelah kejohanan berakhir. Pelbagai isu dan maklumat sama ada yang cuba dilipat dan dibentangkan turut mengambil tempat dalam perbualan tersebut.

Berbalik pada perkembangan sukan catur di negara kita, MC merasakan semuanya sudah dilakukan secara bersepadu oleh pencinta sukan ini., Ibu bapa menghantar anak, para guru menghantar muridnya, para jurulatih menyediakan anak didiknya, penganjur menyediakan tempatnya, para penaja menyediakan hadiahnya, serta para bloggers menyediakan ruangannya untuk sama-sama memastikan sukan ini dapat diwar-warkan serata pelusuk dunia. Lihat sahaja Gilo Catur yang berkepit dengan laptop dan broadbandnya sepanjang kejohanan demi ingin melaporkan perkembangan kejohanan dari masa ke semasa. Tahniah juga kepada beliau kerana bangkitnya anak-anak beliau dalam kejohanan tersebut. Semoga kejayaan demi kejayaan akan dicapai satu persatu oleh mereka pada masa-masa yang akan datang.

Tuesday, October 27, 2009

PENIPUAN TERANCANG

Penipuan bukannya perkara baru dalam dunia hari ini. Sedari dulu lagi, menipu dan ditipu seakan merupakan puzzle dalam kehidupan. Malah penglipur lara dahulu kala juga sering menyelitkaTen unsur penipuan dalam cerita dan penceritaan mereka. Persoalannya, wajarkah penipuan diwujudkan walaupun bertujuan sebagai hiburan ?. Tentunya jawapan yang konsisten adalah tidak kerana penipuan tetap penipuan. Perlu diingat, penipuan bukanlah alternatif yang baik bagi penyelesaian sesuatu masalah.

Penipuan yang kita ciptakan akan melahirkan lebih banyak kenegatifan dalam menegaknya pula. Maka unsur seperti penindasan, memerah keringat orang, mengambil hak orang dan sebagainya akan tercipta bersama penipuan tersebut. Kadang-kadang seseorang yang menipu merasakan dia bijak kerana penipuannya itu tidak dapat dihidu oleh yang ditipu, tetapi adakah hakikatnya begitu?.

Cerita tertipu dalam skim cepat kaya, ditipu dalam urusan jual beli, ditipu dek angkara politikus terlalu banyak untuk dibicarakan. Begitu jugalah perihal ditipu oleh kawan sendiri. Teringat juga akan gurau senda kawan-kawan, KMK yang asal lahirnya merupakan Kumpulan Meningkat Mutu Kerja sudah beralih kepada Kawan Makan Kawan. Ianya dilakukan tanpa sedikit pun tak terfikir tentang kebaikan yang mungkin pernah dilakukan oleh yang tertipu tersebut. Ini lah agaknya yang dinamakan dunia akhir zaman. Entah bilakah masanya semua jenis penipuan ini akan ternoktah.

Malam ini TV3 akan menyelongkar persoalan penipuan ini menerusi programnya 360. Walaupun fokus yang bakal diutarakan adalah berkisar tentang penipuan dalam pelaburan, namun sudah pastinya info-info yang bakal dilemparkan nanti masih juga ada kerelevanannya dengan segala macam bentuk penipuan yang lainnya, apatah lagi yang melibatkan wang kerana dengan wang di depan mata, saudara mara juga bisa berbunuhan, kawan-kawan bercakaran dan sebagainya.

satu persoalan yang timbul, tidak takutkah mereka yang suka menipu dengan mengambil hak orang lain ini dengan hukuman ALLAH ?. Terfikirkah mereka akan perjalanan di akhirat nanti atau balasan yang mungkin bakal dianugerahkan di atas muka bumi ini ?. Atau juga sememangnya mereka hanya akan insaf jika akibat perbuatan mereka ini akan ditanggung oleh anak-anak yang sememangnya tidak berdosa?. Bagaimanakah mereka boleh menghalalkan sesuatu yang sememangnya haram ? Atau juga mereka sebenarnya sudah bersedia untuk menelan bara api neraka di akhirat nanti ? Memohon kemaafan dari Allah adalah lebih mudah dari memohon kemaafan sesama manusia yang kita zalimi. Wallahhualam.....

Monday, October 26, 2009

UPSI OPEN 2009






Kejohanan catur UPSI open yang telah berlangsung pada 24 dan 25 Oktober 2009 telah berjaya menarik seramai 265 orang peserta dan sekali lagi Ian Udani telah berjaya mempertahankan gelarannya sebagai juara bagi kategori open. Bagi kategori sekolah menengah pula telah dimenangi oleh Mohd Syakir Azhar, manakala bagi katregori sekolah rendah pula, Mohd Irfan telah muncul sebagai pemenang.

Satu amaran dari MSS Pulau Pinang apabila satu bas peserta mereka menunjukkan peningkatan yang semakin matang, khususnya sebagai persediaan MSSM 2010. Jika semua ini diambil kira dan diberi pertimbangan yang serius oleh MSS negeri-negeri lain, ternyata sekarang bukan lagi tempoh berbulan madu buat para pemain mereka.