KELUARGAKU

family galery

Friday, July 24, 2009

LADAP

LADAP

Seorang teman menceritakan perihal LADAP (Latihan Dalam Perkhidmatan) kepada saya sambil menghirup secawan kopi 'O' di sebuah restoran mamak di pekan kecil bernama Bukit Sentosa. Menurutnya, sepanjang bulan Jun yang lalu setiap hari sabtu beliau terpaksa ke sekolah tempat beliau mengajar kerana pelbagai program LADAP telah diadakan. Anak-anak dan isterinya pula dikatakan hampir setiap minggu menarik muka kerana kehilangannya. Jika dulu, setiap Sabtu, diisi dengan melayan karenah anak-anak tetapi kini semuanya sudah berubah. Beliau yang memperuntukkan setiap Ahad untuk anak-anak menyiapkan tugasan sekolah, di samping membasuh keperluan persekolahan mereka. manakala hari Sabtu pula untuk jalan-jalan bagi melapangkan minda bersama keluarga. Beliau kecewa kerana kebanyakan program tersebut menampilkan penceramah di kalangan rakan setugas yang kononnya hebat tapi hampeh bila di belakang boss.
Dengan aksi ceramah penuh lakonan, kononnya ingin menunjukkan kesempurnaannya dalam tugasan harian menyebabkan beliau dan rakan-rakannya amat menyampah dengan program tersebut. Lebih-lebih lagi kerana terlalu mengenal peribadi sebenar si penceramah. Apakah barisan pentadbiran telah dibutakan mata mereka untuk mendapatkan penceramah yang lebih berwibawa dari luar atau sengaja berpura-pura mempunyai pandangan yang kabur terhadap respon orang lain kerana si penceramah tersebut merupakan pemuji setia mereka?
Berdasarkan apa yang diceritakan oleh teman saya ini, kesimpulan yang boleh dibuat ialah sememangnya LADAP amat mendatangkan kebaikan jika dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan dan keselesaan ramai tetapi jika terdapat unsur keterpaksaan dan segala bentuk kehadiran yang negatif, ia hanya akan menjadi program yang berjaya merenggangkan hubungan kekeluargaan atau dengan kata lainnya program Lanjutan Anak-anak Di bawah Asuhan Pengasuh (LADAP) kerana pada hari cuti sebeginipun anak-anak hanya mampu mendapat belaian dari pengasuhnya sahaja...........Alahai bosannya !!!!!!

0 Comments: