KELUARGAKU

family galery

Tuesday, July 28, 2009

SEGELINTIR MELAYU MEMANG MUDAH LUPA

Benar kata Tun M, Melayu mudah lupa ! Hari ini kerajaan memutuskan untuk menghapuskan PPSMI. Bukan itu sahaja, malahan turut mengakui kegagalan dasar ini. Cuma dalam kesibukan membahaskan kegagalan dasar ini, ada juga suara-suara sumbang nan serak mengatakan kegagalan dasar ini disumbangkan oleh guru-guru kerana tidak pro aktif untuk mengajar dalam Bahasa Inggeris.

Ternayata mereka memang mudah lupa kerana dasar yang diperkenalkan ini sememangnya secara ad-hoc, kenapa? seorang teman yang baru berkahwin dua minggu yang lalu menceritakan perihal persediaan perkahwinannya. Beliau mengambil masa berbulan lamanya membuat persediaan ke arah itu. Masakan dasar yang yang menentukan hala tuju anak bangsa kita, tanpa perancangan rapi diolah dan dilaksanakan sebegitu pantas mengalahkan persediaan mi segera. Untuk mengelakkan rungutan dan dengusan guru-guru terlibat, maka kuasa duit digunakan. Hulurkan lebih sedikit, 10% mahupun 5%. Sekali lagi Melayu yang menyuarakan, meluluskan, dan yang berkepentingan ini mudah lupa, jika ini dijadikan alasan untuk meningkatkan semangat mengajar guru-guru tersebut, bagaimana pula dengan guru-guru yang mengajar subjek Bahasa Malaysia yang jauh lebih penting di bumi bernama Malaysia ini. Bukan sahaja merupakan bahasa kebangsaan kita, malahan ianya telah diputuskan untuk berperanan sebagai bahasa perpaduan kaum dan telah pula terbukti selama ini telah berjaya menyatupadukan Tee Kiat, Vellu, dan Najib ini seakan-akan tidak penting lagi dek ledakan kononnya, bernama globalisasi. Maka mungkin sebab itulah tenaga pengajar bagi subjek ini dipandang sepi.

Seorang politikus yang merupakan bekas Adun di Negeri Selangor pernah menghantar sms kepada saya dengan mengatakan bahawa bahasa sangat berkait rapat dengan kuasa. Ertinya, setiap pemimpin Melayu yang ada di segenap lapisan pentadbiran dan mempunyai kuasa wajib memperjuangkan bahasa kebangsaan kita agar sentiasa relevan dan tidak dimuziumkan. Ini tidak, bukan sahaja pakaian dan kenderaan made ini Malaysia ini low-class, malahan juga bahasa kita juga menjadi tidak grand untuk dipertuturkan oleh mereka. Sudah terang lagi bersuluh, mereka terlupa lagi.

Budaya lupa ini sebenarnya bukan baru bertunas, malah sudah berkudis, bernanah, dan berparut di dada orang kita. Jika tidak, masakan setiap kali pilihanraya, pelbagai janji ditabur tetapi setelah berkuasa, janji tinggal janji. Yang peliknya, kita yang di bawah ini masih memilih mereka untuk mewakili kita ? Buang sahaja Melayu pelupa ini dan gantikan dengan Melayu yang mungkin mempunyai daya ingatan yang hebat. Lagipun bukankah insan pelupa tidak layak mentadbir dan memimpin.

Begitulah wahai bangsaku, marilah kita daulatkan bahasa kita. Bahasa yang pernah melahirkan ilmuan, negarawan, angkasawan, hartawan, dermawan, seniman, dan segenap lapisan bangsawan. Walaupun terkadang muncul sedikit setan di tengahnya. Namun kejahatan itu bukanlah kerana bahasa yang dipertuturkan kerana kejahatan biasanya terhasil amat sedikit daripada pertuturan, berbanding dengan isyarat dan gerak badan. Renung-renungkanlah teman sekalian, apa akan jadi jika bahasa sendiri terus dipinggirkan ?.

p/s : Penulis sengaja menggunakan sedikit bahasa asing dalam penulisan yang didominasi oleh bahasa kebangsaan kita. Ini menunjukkan bahasa itu sekadar sekunder sahaja seperti ibu yang boleh dicari berapa banyak yang kita hendak seperti ibu angkat dan ibu mertua tetapi ibu kandung tetap satu.

1 Comment:

unrestmind said...

bro...cun la posting ni...keep up a gud work bro...bubye