KELUARGAKU

family galery

Tuesday, September 15, 2009

BATASAN WAKTU

Minggu ini merupakan minggu yang agak padat bagiku. Blog selangor chess (selchess) pun tidak sempat untuk ku update. Ternyata aku, Minda catura pun adalah manusia biasa yang terkadang terkantoi dek kejaran masa yang mungkin hanya akan terhenti tika kedua kelopak mata ini tertutup buat selamanya. Minggu ini juga merupakan minggu yang sarat dengan penerpaan kenangan silam. Entah kenapa wajah arwah ayah dan kekanda yang telah mendahului ku mengadap ilahi acapkali terbayang direruangan mata ini setiap kali selesai bertarawikh.

Wajah ibu pula tidak pernah lekang dari kotak ingatanku. Doa akan sentiasa kupintal agar ibu sering dalam lindunganNYA. Seperkara yang teramat aku harapkan adalah agar aku insan yang sejahil ini berpeluang bertemu malam Lailatulqadar pada tahun ini. Ya ALLAH, jangan kau ambil nyawaku sebelum putihnya ikram itu menyelimuti badan yang kau pinjamkan ini sambil melangkah penuh khusyuk di kota suciMU.

Hari raya tahun ini mungkin juga akan berlalu seperti tahun-tahun sebelumnya. sepi dan hambar. Mungkin kerana usia ku yang sudah bertambah atau juga kerana kegembiraan itu sudah dirampas sejak sekian lama dahulu, namun apa yang pasti mungkin senyumanku masih berguna buat menceriakan anak-anak yang menjadi amanah buatku. Sanak saudara masih juga sentiasa dirindui. Ia tidak mungkin akan berubah biarpun jua masa pantas berlari meninggalkan ku. Di hari yang mulia ini, aku pohonkan kemaafan buat semua insan penting yang dihadirkan ALLAH dalam hidupku selama ini.

0 Comments: