KELUARGAKU

family galery

Monday, September 28, 2009

AIDILFITRI KEMBALI LAGI

Alhamdulillah.... Sempurna sudah puasa pada tahun ini. Syawal disambut dengan penuh meriah terutamanya bagi golongan anak-anak. Kutadah tangan tanda syukurku kehadratNya kerana tahun ini sekali lagi aku berpeluang mencium tangan dan pipi ibuku. Jelas terlihat ukiran kedut diraut wajahnya kian bertambah, namun kugembira kerana Allah menganugerahkannya kesihatan yang baik. Alangkah baiknya jika ayahku jua masih ada ketika gema takbir Aidilfitri bergema, namun Allah lebih menyayanginya. Kami sekeluarga pasrah dengan pemergiannya yang telah bertahun bersemadi.

Desa yang kutinggalkan ternyata mengalami evolusi yang amat pantas. sawah-sawah nan menguning seketika dahulu sudah berganti dengan deretan rumah teres jua banglo di kiri kanan simpangnya. Tatkala melalui bekas tapak rumahku yang telah kami tinggalkan bersama seribu memori semenjak setahun yang lalu, air mata ku seakan berderai kerana di bangunan yang telah dirobohkan itu tersimpan seribu satu kenangan pahit manis kami sekeluarga. Di situlah aku dilahir dan dibesarkan dalam sebuah keluarga yang besar. Di situ jugalah kedua jenazah, ayahanda dan kekanda tercinta terbujur kaku dijemput pulang.

Mungkin teratak dan desa itu sudah tiada dalam dairi tintaku tatapi ianya akan tetap mekar di kotak ingatanku sampai bila-bila pun jua. Tempat jatauh lagi dikenang, inikan pula tempat aku dilahirkan, dibesarkan dan mengenal akan erti sebuah kehidupan. Di situ jugalah keluargaku berlindung dari panas dan hujan sepanjang 39 tahun.

Aidilfitri kali ini juga kulihat kesedihan di wajah salah seorang kakak ku yang kini menghadapi dugaan tuhan. Menghadapi luekimia di saat insan lain sedang bergembira bukannya mudah untuk diterima hakikatnya tetapi aku juga kagum dengan semangatnya yang cekal menghadapi semua itu. Biarpun helaian rambut-rambutnya kian bertaburan ditiup angin kesan dari kimo, namun masih berupaya mengukir senyuman tika kami melawatnya. Jauh di sudut hatiku, aku dapat mengagak senyuman itu sekadar untuk menyedapkan hati kami yang bertandang ke purinya. Terima kasih yang tidak terhingga kerana cuba membahagiakan kami biarpun sakit sebenarnya hanya dia yang tahu. Ya Allah......Sembuhkanlah penyakit kakakku agar dia bisa menjalani kehidupannya seperti sediakala.

Nun di sudut sana, abangku pula dikhabarkan mengalami kesakitan kaki akibat sesuatu yang dia sendiripun tidak pasti apa puncanya. Lantas ku halakan estima putihku bersama keluarga menghala ke istananya. kami hampa. Dia tiada di rumah kerana menunaikan sesuatu yang menjadi fardhu kifayyah. kami dikhabarkan oleh kakak iparku yang dia menggagahi juga dirinya untuk memandu van jenazah kerana pada pagi itu ada seorang lagi muslimin yang telah dijemput pulang. Itu lah abangku yang biarpun dalam kepayahan tetapi tetap berusaha untuk berbakti kepada masyarakat walaupun itu bukanlah tugasan hakikinya. Ya Allah....kau sembuhkanlah abangku ini.

Aidilfitri kembali lagi pada tahun ini bersama dengan pelbagai cerita duka jua nestapa. Apapun, aku tetap yakin semua yang berlaku ini pasti ada hikmahnya. Semoga Aidilfitri yang bakal mendatang pada tahun-tahun ke depan menjanjikan cerita-cerita yang manis pula, insyaAllah.

2 Comments:

Aloy Paradoks said...

ek eleh,,,, touching lak..

PPKI SK Taman Bunga Raya 1 said...

selamat hari raya aidilfitri...