KELUARGAKU

family galery

Wednesday, September 16, 2009

PERIHAL BAHASA

Di mana kedudukan bahasa kita, Bahasa Melayu sekarang ? Ke manakah bahasa kita yang hebat itu akan di bawa ? Apakah suatu hari nanti bahasa itu juga akan mati, terkubur tanpa nesan ? Kita sudah hampir kehilangan tulisan jawi dalam mengejar arus permodenan tamadun dunia. Mahukah kita melihat keranda bahasa kita diusung dalam kemegahan bahasa asing lain yang melebarkan kepaknya di merata dunia ? Kita selama ini terlalu mengagungkan bahasa asing yang terus diangkat menjadi bahasa dunia sedangkan bahasa kita yang tidak kurang hebatnya dibiarkan terus kelemasan di bumi sendiri.

Sewaktu pengenalan PPSMI seketika dahulu, bahasa kita terus dipinggirkan. Orang-orang politik peringkat atasan terus menyanyikan lagu kemajuan dunia dalam rentak dan irama bahasa lain. Kononnya hanya bahasa asing yang dapat memacu kita ke persada dunia. Wah.. betapa kolotnya jiwa mereka. Mereka ini bukannya tidak sedar akan hakikat sebenarnya, tetapi demi mahu memastikan kelangsungan sebuah kerusi politik, bahasa sendiri juga perlu dikorbankan. Lebih menyedihkan, politikus yang sudah berusia juga turut sekonyong-konyong menyokongnya. Mungkin tanda setia pada si gembala.

Hari ini, setelah PPSMI mahu dihapuskan, politikus yang sama anehnya bercakap tentang pentingnya bahasa kita dipertahankan. Peliknya kisah-kisah yang berlaku di dunia ini. Semasa PPSMI hendak ditegakkan, guru-guru telah digula-gulakan dengan pemberian insentif tetapi pelik pula setelah kepentingan bahasa sendiri diakui perlu diutamakan, tiada pula tindakan seumpamanya dilakukan terhadap tenaga pengajar bagi subjek tersebut.....

Lagi peliknya, di peringkat pusat telah mengakui kegagalan PPSMI adalah disebabkan oleh faktor teknikal dan kebersediaan yang terlalu nipis, tetapi di peringkat negeri pula masih ada yang menyalahkan guru-guru sebagai punca kegagalannya. Projek gajah putih ini akhirnnya menguntungkan siapa ?

Hentikanlah semua polemik kegagalan ini, pihak berwajib adalah diharapkan mengambil langkah yang lebih proaktif untuk memeperkembang dan memperkayakan bahasa kita agar bahasa yang kita sanjungi ini akan lebih kukuh lagi. Jangan sampai bahasa ini hilang ditelan arus permodenan dunia kerana tanpa bahasa, di manakah bangsa kita ?

0 Comments: