KELUARGAKU

family galery

Monday, October 5, 2009

HITAM, PUTIH dan KELABU

Dalam hidup kita dalam dunia yang serba canggih hari ini, kita terlalu menjadikan hitam dan putih sebagai pertimbangan dan pengadilan. Bagi kebanyakan orang, hitam mewakili keburukan, kejahatan, serta perbuatan yang tidak bermoral. manakala putih pula adalah sebaliknya. Pelanggaran sesuatu norma budaya seringkali diadili satu kesalahan yang tergolong dalam calitan dakwat hitam. Itu jugalah aras pertimbangan kita dalam melakukan sesuatu perkara atau hal. Pernahkah terfikir oleh kita antara keduanya masih ada satu lagi iaitu kelabu. Warna kelabu acapkali dilupakan sebegitu sahaja seolah-olah kewujudannya tidak diendahkan oleh kita.

Jika kita gagal mematuhi kehendak moral dan etika akan dianggap salah atau hitam dan jika sebaliknya pula kita akan diberikan warna putih. Bagaimana pula jika kita yang sedang berada di lampu isyarat pada jam 3 pagi dan pada ketika itu tiada satupun kenderaan berada di situ mahupun dalam lingkaran lampu isyarat itu. Pada masa itu kita sedang membawa seseorang pesakit dalam keadaan tenat. Persoalannya, adakah kita perlu mematuhi prinsip moral dengan berhenti pada lampu yang sedang merah atau atas nama moral juga kita boleh terus memandu he hospital walaupun pada saat lampu masih merah demi berusaha untuk cuba menyelamatkan satu nyawa ? Nah, justeru inilah perilaku yang boleh kita kategorikan sebagai kelabu, yang sering dilupakan orang dalam melakukan sesuatu proses penghakiman terhadap orang lain dalam kehidupan hari ini.

Sememangnya latar kelabu ini secara sedar mahupun tidak sudahpun dipraktikkan dalam kehidupan, cumanya kita sendiri tidak menyedari akan kewujudannya. Misalnya, setiap pertimbangan kita yang berdasarkan pertimbagan budi bicara dan toleransi. Maka ditegaskan lagi, dalam kehidupan ini kita bukan sahaja berhadapan dengan situasi hitam dan putih sahaja, malahan kita mempunyai alternatif antara hitam, putih, dan kelabu

0 Comments: