KELUARGAKU

family galery

Friday, October 9, 2009

GURU SAMAN PENGETUA

Dalam ghairah orang memperkatakan bahang pilihan raya kecil, tiba-tiba sahaja kita dikejutkan dengan berita seorang guru di Pahang menyaman pengetuanya RM 228k. Pada pandangan sekelompok individu perbuatan guru ini adalah tidak beretika dan tidak bermoral tetapi apakah beretika dan bermoral seorang pengetua berperilaku sebegitu rupa dalam mengaibkan seorang insan bernama guru ?. Walau apapun kesalahannya, adakah beliau tidak langsung pernah menyumbang ke arah pembangunan pendidikan di sekolah tersebut ? Kalaupun dia bersalah pada pandangan pentadbir sekolah, mengapa tiada disusulkan dengan perbincangan secara dua hala, surat tunjuk sebab dan sebagainya.

Pengalaman yang sedikit daripada rakan-rakan bergelar pendidik, sememangnya ada di kalangan pengetua atau guru besar sememangnya menggunakan kuasa dan kedudukan mereka secara semberono dalam menekan dan memeras segenap tenaga guru-guru di bawahnya demi memastikan kelangsungan survival kedudukan mereka di institusi tersebut dipandang hebat oleh orang lain dengan pencapaian sekolah yang dianggap super.

Kekadang kita terlupa insan bergelar guru ini juga adalah manusia biasa, justeru beban yang sedia ada banyak dan berat mengapa harus diberatkan lagi. Malahan ada juga sekolah yang pendidiknya seakan bisu dalam mensyuarat PIBG bila mana ada antara ibu bapa yang menjadikan medan mesyuarat tersebut sebagai pelantar untuk melontarkan scud dan patriot terhadap guru-guru. PIBG yang telah menjadi Pentas Ibu bapa Belasah Guru ini jika dibiarkan semakin lama akan menjadi barah yang tidak dapat dikawal lagi.

Mengapakah kelompok ini tidak boleh mengamalkan permuafakatan di peringkat yang paling tinggi bagi sesebuah institusi pendidikan ?. Guru-guru perlulah menghormati pengetua atau guru besar mereka sebagai pegawai atasannya, manakala pengetua atau guru besar pula perlulah menghormati guru-guru mereka sebagi insan yang melaksanakan pembangunan dan kemajuan bagi sekolah tersebut. Secara ringkasnya, golongan ini saling perlu-memerlukan. Berdamailah wahai sang pengetua dan guru yang sedang bermasalah tersebut. Jika ada kesalahan akibat keterlanjuran sebelum ini, ketepikanlah egoistik dan pohonlah kemaafan kerana memohon maaf sesama manusia adalah lebih sukar berbanding memohon maaf dari Allah. Kecemerlangan sesebuah sekolah banyak bergantung kepada kerjasama yang amat erat antara guru-guru dan pentadbiran sekolah, di samping faktor murid-muridnya.

0 Comments: