KELUARGAKU

family galery

Thursday, October 8, 2009

Pilihanraya.......Medan Pilihanrakyat atau medan sketsa

Pilihanraya merupakan salah satu dari cabang demokrasi. Dari pilihanraya inilah kita memilih individu yang dapat mewakili kita untuk menyatakan masalah dan harapan kita warga negara sama ada di dewan undangan negeri mahupun dewan rakyat. Pemimpin yang dipilih ini pula sudah tentulah perlu memilkul amanah rakyat sebaik mungkin kerana tanpa rakyat yang memilihnya, beliau bukannya sesiapa.

Kekadang di negara kita berlaku satu situasi pelik yang nyata di mana bila adanya pilihanraya sama ada kecil mahupun umum, pelbagai janji manis ditabur untuk menjadi pemanis halwa telinga rakyat di sana. Secara tiba-tiba juga pelbagai imbuhan dirancang dan diluluskan secara segera. Apakah setiap janji itu ditunaikan ?. Tolonglah....jagan lagi kita memperbodohkan pengundi dengan segala macam retorik.

Lebih memualkan lagi kerana cerita gaduh, tumbuk-menumbuk, samseng dimainkan oleh parti-parti bertanding. Hari ini parti A mendakwa ahli parti B yang memulakan, begitu jugalah sebaliknya di hari esok. Persoalannya, sedarkah mereka ini bahawa yang terlibat semua itu adalah bangsa kita, melayu. Sehingga paras manakah melayu ini hendak dikebawahkan imejnya?

Sedarlah Melayu kini bukan lagi menjadi majoriti yang nyata bilangannya di negara kita hinggakan terpaksa kita menjamakkannya kepada bumiputera untuk distatistikkan. Jika bilangan yang senakin mengecil hari inipun hendak dilagakan atas nama politik dan fahaman ideologi, justeru kita menjadi semakin berpecah dan lemah. Seharusnya kita perlulah lebih utuh biarpun dalam berpolitik. Politik yang matang bukan sahaja tidak mengguris hati segenap politikus, malahan tiada sebarang rekahan akan terbentuk di dinding bangsa kita.

Bukan kah bangsa kita telah semakin maju dan hebat ?. Kenapa tidak kita terus menerus berusaha untuk lebih mendominasi lagi setiap aspek kemajuan dan ketakwaan kita?. Biarlah kita berkempen dengan menyatakan ideologi perjuangan kita daripada kita cuba memburukkan lawan kita kerana semuanya ibarat meludah ke langit, yang akhirnya akan terjatuh juga di muka kita. Berilah sedikit ruang untuk pengundi berfikir dan memutuskan siapa yang hendak mereka pilih. yang menang haruslah berkhidmat untuk kawasannya manakala yang kalah pula berikan sokongan kepada yang menang sebagai salah seorang warga tempatan dan cuba untuk terus berbakti kepada masyarakat setempat. Jika ini semua dilakukan dengan ikhlas, insyaallah suatu masa nanti jika wakil rakyat sedia ada bercakap tidak serupa bikin, rakyat sendiri akan memilih kita pula.

0 Comments: