KELUARGAKU

family galery

Monday, October 12, 2009

PENJENAYAH IJAZAH

Ijazah adalah merupakan idaman setiap individu yang sedar akan kepentingan ilmu serta juga yang ingin membina kerjaya di masa hadapan. Bukan ingin memperkecilkan golongan yang tak berijazah, cuma ingin meyingkapkan sebuah kenyataan bahawa menjadi kelaziman bagi ibu bapa akan berbangga jika anak-anaknya berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading dan memperolehi ijazah. Namun keunggulan ijazah kini sedikit tercemar gara-gara ada sekelompok individu yang mengambil jalan pintas dalam mendapatkan segulung ijazah. Mereka ini menggunakan kuasa wang untuk mendapatkannya.

Golongan pencemar kehebatan ijazah ini adalah merupakan pengkhianat bagi keunggulan ilmu. Mereka ini tidak ubah seperti golongan yang sewenang-wenangnya melacurkan ilmu demi sebuah status diri. Masyarakat sebenarnya lebih mengenali sama ada golongan ini sememangnya layak atau tidak menggenggam ijazah tersebut. Masakan dengan hanya goyang kaki sahaja sudah mampu mendapatkan ijazah dari merata pelusuk universiti di dunia ini. Ijazah jenis ini biasanya lebih mudah didapati di universiti luar negara kerana adalah mustahil jika perkara ini dilakukan di dalam negara kita, yang dikawal oleh kerajaan melalui kementeriannya.

Ada antara golongan bengap ini seakan berbangga bercerita tentang ijazah sarjana yang mereka perolehi dari luar negara. Malah ada antaranya yang mungkin berbangga dengan MBA dan sebagainya, sedangkan pada masa yang sama tergagap-gagap untuk bertutur dalam bahasa Inggeris. Insafkan wahai golongan perosak status ilmu pengetahuan. Apakah anda perlu malu untuk mengakui yang anda sememangnya hanya berkelulusan setakat itu sahaja. Saya amat bersyukur kerana mempunyai kawan yang tidak berijazah tetapi amat menghormati nilai ilmu daripada mempunyai kawan sebaliknya. Ijazah bukanlah ukuran untuk berjaya di dunia ini tetapi ia adalah lambang bagi mereka yang sangat cintakan ilmu pengetahuan

0 Comments: